FMT Reporters
PETALING JAYA: Lim Kit Siang tertanya sama ada Hadi Awang akan memberi laluan kepada Samsuri Mokhtar untuk memimpin PAS, susulan kemenanganya pada PRK Kemaman.
Malah, veteran DAP itu berpandangan Samsuri boleh memimpin sebuah PAS yang bersifat lebih sederhana dan terbuka, serta menjadi parti yang menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah, dan berita palsu.
“Perkara-perkara yang sudah menjadi sinonim dengan PAS sejak meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015,” katanya dalam kenyataan.
Lim khuatir akan masa depan negara sekiranya parti utama di Parlimen dipimpin oleh wakil-wakil rakyat yang “gagal untuk membezakan di antara kebenaran dan penipuan atau mengenal pasti fitnah, berita palsu, dan perkara yang tidak tepat.”
“Persoalannya sekarang adalah sama ada Hadi Awang akan meletakkan jawatannya sebagai presiden PAS untuk membolehkan Samsuri mengambil alih,” katanya.
Menjelang PRK Kemaman, Samsuri dicanang sebagai “calon perdana menteri” dan berkelayakan untuk memegang tampuk negara, oleh dua bekas perdana menteri iaitu Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.
Samsuri menjadi menteri besar Terengganu sejak 2018, dan juga merupakan naib presiden PAS.
Pada PRK semalam, Samsuri terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan Raja Affandi Raja Noor daripada Barisan Nasional (BN).
Kedua-duanya membuat penampilan pertama mereka dalam pertandingan kerusi Parlimen.
Samsuri diletakkan di Kemaman selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU15 kerana didapati berlakunya rasuah, pada September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan