LIzz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki memberikan dadah kepada bayi lelaki berusia 16 bulan yang dipercayai anak mereka.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan itu ditahan pada 12 Disember lalu, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.
"Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA, Johor Bahru.
"Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati pasangan kekasih itu positif dadah.
Katanya, hasil pemeriksaan, bayi itu pula didapati positif dadah methamphetamine atau amphetamine.
Menurutnya, pasangan kekasih itu sudah dituduh di mahkamah semalam, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan seorang bayi positif dadah.
"OKT (orang kena tuduh) ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang, namun mereka tidak dapat membayar jamin ditetapkan, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang.
"Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan