Pemandu Perodua Bezza dikejar 28 peronda ada 11 rekod lampau

FMT Reporters 
Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah Perodua Bezza yang dikejar polis dari Petaling Jaya ke Cyberjaya.
PETALING JAYA: Pemandu Perodua Bezza yang dikejar 28 peronda polis hingga ke Cyberjaya mempunyai 11 rekod kesalahan lampau.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam kejadian 1.42 pagi tadi, kereta dipandu suspek melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara.

Suspek kemudian memasuki Lebuh Raya Persekutuan menuju Shah Alam, tetapi merempuh anggota unit rondaan bermotosikal yang cuba menahannya di Jalan PJS 6/1 Sungei Way.

“Susulan itu, hebahan bantuan dibuat dan beberapa kereta peronda IPD Sepang, Serdang, dan Subang Jaya mengejar suspek dengan jarak 50km melalui Lebuh Raya Damansara-Puchong.

“Kenderaan suspek berjaya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, video tular menunjukkan sebuah Perodua Bezza dikejar peronda dari Petaling Jaya ke Cyberjaya. Pemandu itu tetap meneruskan perjalanan walaupun diburu polis.

Fakhrudin berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemui sebilah pisau, gunting, set sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan milik individu lain serta kad debit.

Seorang suspek lelaki dan wanita tempatan direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 186, 279, dan 353 Kanun Keseksaan; serta Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil.

Kes dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan