Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
SEKUMPULAN lelaki ditahan rejim Zionis di Gaza yang menurut dakwaan Israel kononnya mereka pejuang Hamas yang menyerah diri kepada tentera Israel.
Kuala Lumpur: Rejim Israel giat menyebarkan propaganda mendakwa lebih 100 pejuang Hamas keluar dari terowong persembunyian dan menyerah diri kepada mereka semalam.
Media Israel turut menyiarkan gambar sekumpulan lelaki ditahan rejim Zionis di sekitar Gaza, Palestin dengan keterangan gambar kononnya pejuang Hamas menyerah diri kepada tentera Israel.
Beberapa jam sebelum itu, media terbabit dalam Instagram mereka turut menerbitkan video barisan lelaki Palestin itu dikawal tentera Israel dalam keadaan mangsa masing-masing duduk dan berpeluk tubuh kesejukan tanpa pakaian.
Keterangan video itu memberitahu pasukan Israel berjaya menahan rakyat Palestin, namun semakan Harian Metro sekali lagi mendapati hantaran asal video itu dipadam media terbabit beberapa minit selepas ia tular.
Menurut sumber Gaza Now, tentera Israel menjalankan kempen penahanan besar-besaran ratusan penduduk lelaki di Beit Lahia, utara Gaza, malam tadi (waktu Malaysia).
Pasukan tentera Zionis menyerbu sekolah yang menempatkan ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal di utara Semenanjung Gaza sebelum membawa lebih 100 lelaki berusia 15 tahun ke atas ke suatu kawasan lapang.
Lebih kejam, mangsa yang diarahkan bergerak ke halaman sekolah dipaksa menanggalkan pakaian di hadapan mata kanak-kanak dan wanita dalam keadaan cuaca yang sejuk.
Mereka dibawa menggunakan lori ke sebuah kawasan dan sehingga kini nasib mereka masih tidak diketahui.
Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mengesahkan, Israel menangkap orang awam yang berlindung di sekolah Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di utara wilayah itu, semalam.
Katanya, rejim itu turut menahan wartawan, doktor, ahli akademik dan warga emas dari pusat pemindahan di utara Gaza selepas mereka dipaksa menanggalkan pakaian.
Difahamkan, sejumlah besar orang awam turut terkorban di halaman sekolah UNRWA berdekatan Hospital Indonesia dan jalan di sekitarnya selepas dibom Israel dengan pasukan perubatan tidak dapat berbuat apa-apaара.
Selain itu, penduduk Palestin, Hani Almadhoun dalam hantaran di Facebook turut mengesahkan bapa, abangnya, Mahmoud dan anak saudaranya, Abood termasuk dalam lebih 100 orang awam yang ditahan dan didera Israel kelmarin.
Malah tular kenyataan mendakwa, Ketua The New Arab, media milik syarikat Qatar, Diaa Al-Kahlot turut berada dalam kumpulan tahanan Israel kelmarin.
Mengulas situasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, lelaki terbabit ditangkap dari sekolah-sekolah di bahagian utara Gaza yang menempatkan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
"Mereka dihimpunkan dan ditanya bermacam-macam soalan.
"Di sebelah bandar Gaza, isteri menceritakan yang suami mereka ditembak beramai-ramai di depan mata," katanya.
Katanya, Palestin sudah putus harapan dengan dunia apabila memasuki hari ke-62 kekejaman Israel masih berterusan, malah keadaan semakin buruk.
"Di Telegram saya boleh lihat video lelaki dibunuh. Kalian tak perlu kongsikan gambar ini.
"Penduduk Palestin sudah pun putus harapan dengan umat Islam…dengan kita," katanya.
Sehingga kini, Israel melancarkan 1,576 serangan pembunuhan beramai-ramai hingga menyaksikan angka korban mencecah lebih 17,177 orang manakala lebih 46,000 lagi cedera dengan lebih 7,700 orang hilang atau terperangkap dalam runtuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan