Remaja dakwa dirogol bapa tiri selama enam tahun

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Seorang remaja perempuan akhirnya memberanikan diri membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa rogol bapa tirinya selama enam tahun.

Remaja berusia 18 tahun itu hanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 24 November lalu selepas mendakwa mula dirogol sejak berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, susulan laporan dibuat mangsa, polis menahan bapa tiri mangsa berusia 54 tahun.

"Mangsa mendakwa kali terakhir kejadian rogol berlaku pada Ogos lalu di rumah mangsa bersama suspek di Horizon Hills.

"Mangsa mendakwa dia dirogol suspek sejak berusia 12 tahun di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru dan Horizon Hills.

"Mangsa hanya membuat laporan polis di IPD Iskandar Puteri pada 24 November lalu dan suspek ditahan ketika menyerah diri di IPD Iskandar Puteri," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek sudah dituduh di mahkamah, semalam, atas tuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Lelaki itu tidak mengaku bersalah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

"Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan