Restoran tular ini sah tiada sijil halal

HarapanDaily.com
‘Tengok ada logo halal atau tidak’ – Restoran tular ini sah tiada sijil halal
Orang ramai khususnya masyarakat Muslim dinasihatkan agar tidak cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke sesebuah tempat makan.

Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim amengingatkan bahawa orang Islam wajib memastikan semua makanan dan minuman bersih, suci dan halal kerana ia menjadi darah daging kita.

Nasihat itu susulan pengesahan bahawa Restoran Hawayi di Teluk Intan yang tular dikunjungi ramai orang Islam sebenarnya tidak mempunyai sijil halal.

Menurutnya, hasil semakan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk mendapati restoran tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Jelasnya, JAIPk tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya dan perkara itu perlu diambil berat oleh masyarakat Islam.

“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati apabila kita ke restoran dan tempat makan.

“Sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” dipetik Harian Metro.

Sebelum ini, status halal restoran tersebut menimbulkan keraguan sehingga menimbulkan kebimbangan pengguna Muslim lain.

Seorang pengguna Facebook, Abang Ameen memberitahu hasil semakan di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada menemukan rekod restoran tular itu mempunyai sijil halal.

Sehubungan itu, Harith Fadzilah berkata, sebagai pengguna, orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi telefon pintar.

“Paling penting pastikan setiap restoran atau tempat makan itu mempunyai SPHM kerana tanda halal itu adalah jika operasi dan bahan makanan di sesebuah premis itu menepati syarat,” katanya.

Tambahnya, sikap berhati-hati dalam memilih premis makanan amat wajar dilakukan kerana masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan serta minum selain berdasarkan hukum syarak.

“Itu sebab kita galakkan kepada mana-mana pemilik restoran dan individu untuk memohon sijil halal kerana ia lebih meyakinkan masyarakat,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan