KOSMO!
PETALING JAYA – Lagu ‘Cintaku Sampai Ke Ethiopia’ nyanyian Ria Resty Fauzi sekali lagi mencuri tumpuan selepas ia dinyanyikan sekumpulan murid sebuah sekolah kebangsaan (SK) yang dimuat naik di media sosial, semalam.
Bagaimanapun, persembahan tersebut menerima respons sebaliknya apabila rata-rata berpandangan ia tidak sesuai untuk murid sekolah susulan konteks yang terdapat dalam lagu itu.
Menerusi perkongsian Syahr Musafir di Facebook, dia berkata, anak-anak perlu dididik jauh daripada topik cinta meskipun ia bertujuan untuk hiburan.
“Lirik lagi Cintaku Sampai ke Ethiopia ini mengenai ‘boyfriend girlfriend’ (pasangan). Tak ada faedah apa-apa pun untuk murid sekolah.
“Saya dengar video ni, murid diajar nyanyi lirik asal langsung tak diubah. Walaupun melodi lagu (menarik), tetapi bukan tiket untuk halalkan lagu ini dinyanyikan apatah lagi oleh murid sekolah rendah,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak pilihan lagu lain lebih layak didendangkan yang mempunyai nilai lebih bermakna dan bersesuaian.
“Sekolah kena jadi institusi yang didik anak-anak. Kalau nak berhibur, kena berhibur cara yang betul. Tak boleh sekadar baik, tetapi kena betul,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan sekumpulan murid sekolah SK membuat persembahan membawakan lagu ‘Cintaku Sampai Ke Ethiopia’ yang kini mencatat lebih 170,000 tontonan.
Persembahan itu yang turut diiringi dengan gerak tari dipercayai mirip persembahan koir pelatih jururawat Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah (KSKB) yang pernah tular sebelum ini.
Menjengah di ruangan komen video berkenaan, rata-rata berpendapat bahawa guru di sekolah perlu lebih cakna dengan memilih lagu yang mempunyai nilai-nilai murni.
“Cari lah lagu yang ada semangat patriotik sedikit. Ada banyak lagu komersil yang baik dan beri semangat atau boleh ubah lirik lagu,” kata Mirzan .
“Tak ada faedah untuk murid, seakan bimbing murid ke arah percintaan usia muda begini,” jelas Syawal. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan