Tebusan ditembak tentera sendiri: Ini alasan pegawai tentera Israel

HarapanDaily.com

Seorang pegawai tentera Israel, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata siasatan awal yang dibuat oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mencadangkan tiga tebusan Israel yang dibunuh oleh tentera zionis muncul tanpa berbaju dari sebuah bangunan.

Menurutnya, dipetik Agensi, seorang daripada mangsa memegang sebatang kayu berikat kain putih.

Tiga tebusan Israel yang mati ditembak tentera sendiri pada 15 Disember lalu itu dikenali sebagai Yotam Haim, 28, Samer Talalka, 22, dan Alon Shamriz, 26.

Pegawai itu menegaskan, salah seorang tentera di lapangan berasa terancam menyebabkannya melepaskan tembakan apabila lelaki terbabit yang berada pada jarak puluhan meter mengisytiharkan diri sebagai “pengganas”.

Ekoran tembakan itu, dua tebusan serta-merta manakala mangsa ketiga yang cedera,

kembali ke bangunan tempat dia bersembunyi.

Tebusan yang terselamat kemudiannya kedengaran menjerit meminta pertolongan dalam bahasa Yahudi menyebabkan komander batalion mengarahkan tentera untuk menghentikan tembakan.

Walau bagaimanapun, jelas pegawai itu lagi, dia juga ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel sejurus tebusan yang terselamat itu muncul semula.

Tambah pegawai itu, ketiga-tiga tebusan Israel terbabit tidak dapat dipastikan sama ada telah ditinggalkan oleh penculik atau melarikan diri.

Semalam, IDF dilapor berkata, pemeriksaan terhadap bangunan itu dijalankan dan mendapati terdapat mesej “SOS” dan “Mohon bantuan, 3 tebusan” yang ditulis pada kain.

Mesej tersebut ditulis tiga tebusan terbunuh itu menggunakan sisa makanan, kata laporan yang dikeluarkan IDF.

Mengikut IDF, ketiga-tiga tebusan tersebut telah ‘tinggal’ di bangunan bersebelahan lokasi mereka ditembak ‘untuk satu tempoh masa.’

Dalam masa sama, IDF mengakui, insiden menembak mati ketiga-tiga mangsa yang memegang baju putih sebagai melanggar “peraturan tindakan.”

Ekoran tindakan tersilap menembak tebusan sendiri, Israel berhadapan dengan tekanan masyarakat dunia yang semakin marak.

Rejim pengganas itu didesak supaya menghentikan segera perang di Gaza dalam usaha untuk membebaskan lebih banyak tawanan.

Kira-kira 120 tawanan dalam tahanan pasukan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza selepas lebih dua bulan Israel melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat Palestin.

Lapor Agensi, Hamas menawan mereka terbabit pada 7 Oktober yang turut mengakibatkan kematian lebih 1,200 di selatan Israel.

Dendam meluap Israel atas serangan Hamas yang tidak dijangka itu kemudiannya membawa kepada serangan bertalu-talu daripada negara haram diterajui Benjamin Netanyahu.

IDF mengisytiharkan setakat 10 Disember, mereka telah menyerang lebih 22,000 sasaran di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Akibat keganasan Israel, kira-kira 19,000 rakyat Palestin syahid dibedil pembunuh dengan 70 peratus daripadanya merupakan golongan wanita dan kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam memberitahu, jumlah tersebut merangkumi mangsa yang terkorban di Gaza antara 7 Oktober dan 15 Disember.

Menurut kementerian itu, angka berkenaan termasuk lebih 300 pekerja sektor kesihatan, 92 wartawan, 135 pekerja Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat dan kira-kira 35 kru pertahanan awam.

Tambah kementerian tersebut, lebih daripada 54,000 orang telah dilaporkan cedera, dengan ramai lagi gagal dikesan.

Kementerian itu juga memaklumkan hanya lapan daripada 36 hospital berfungsi sebahagiannya di Gaza dan kadar penghunian telah melonjak kepada 206 peratus di wad dan 250 peratus di unit rawatan rapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan