Undian Euro 2024: Bunyi desahan berahi ganggu siaran langsung

Utusanonline

HAMBURG: Undian Kejohanan Bola Sepak Euro 2024 yang berlangsung awal pagi tadi terganggu gara-gara bunyi desahan berahi tatkala ia disiarkan secara langsung di televisyen ke seluruh dunia.

Bunyi gangguan tersebut mula kedengaran ketika Switzerland diundi bersama-sama Scotland, Hungary dan tuan rumah, Jerman sehingga menimbulkan rasa kurang senang para penonton yang hadir di Dewan Elbphilharmonie, Hamburg.

Juruacara majlis, Giorgio Marchetti yang juga Timbalan Setiausa Agung Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) cuba untuk mengawal keadaan namun gagal apabila bunyi tersebut terus kedengaran untuk tempoh lebih kurang 10 minit.

Pengurus England, Gareth Southgate mengakui terkejut apabila mendengar dengan jelas gangguan bunyi desahan itu ketika sesi undian sedang berlangsung.

“Saya dengar. Saya ingat ia adalah satu gurauan, tetapi sukar untuk menentukan sama ada ia benar-benar berlaku di belakang pentas ataupun sebaliknya,” jelas Southgate.

Bagaimanapun, insiden berkenaan jelas merupakan satu gurauan yang dibuat oleh seorang pemuda, Daniel Jarvis yang turut bertanggungjawab melakukan perkara sama ketika perlawanan Piala FA antara Wolverhampton Wanderers menentang Liverpool pada Januari lalu.

“Dengar, semua ini dilakukan oleh kami. Kami yang membuat bunyi tersebut, kami meletakkan sebuah telefon disitu dan menelefonnya ketika siaran langsung,” jelas Jarvis menerusi media sosialnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan