Houthi serang kapal kargo AS

AFP
FOTO pada 20 November menunjukkan pemberontak Houthi di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah. FOTO Reuters
FOTO pada 20 November menunjukkan pemberontak Houthi di atas kapal kargo Galaxy Leader di Laut Merah. FOTO Reuters
Sanaa: Pemberontak Houthi Yaman menyerang sebuah kapal kargo milik Amerika Syarikat (AS), dengan peluru berpandu, pada Isnin.

Ia disahkan oleh tentera AS.

Situasi itu meningkatkan kebimbangan selepas serangan berulang kali ke atas kapal di Laut Merah, mencetuskan serangan AS dan United Kingdom.

Selepas serangan Barat terhadap beberapa sasaran pemberontak pada Jumaat lalu, pemberontak Houthi mengisytiharkan bahawa kepentingan AS dan UK kini adalah sasaran yang sah.

Komando Pusat AS memaklumkan kapal Gibraltar Eagle yang berbendera Kepulauan Marshall mengalami kebakaran di atas kapalnya, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas serangan terbaru beberapa hari kebelakangan ini.

"Puak Houthi yang disokong Iran melepaskan peluru berpandu balistik antikapal dari kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman dan mengenai MV Gibraltar Eagle," ciapnya di X.

"Kapal itu tidak melaporkan sebarang kecederaan atau kerosakan yang ketara dan meneruskan perjalanannya," tambah CENTCOM, yang mengarahkan operasi ketenteraan AS di rantau itu.

Sementara itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata, pihaknya melakukan operasi ketenteraan yang menyasarkan sebuah kapal AS di Teluk Aden, menggunakan sebahagian peluru berpandu tentera laut yang sesuai.

Tentera Houthi dan sumber kerajaan Yaman memberitahu AFP, pemberontak melepaskan tiga peluru berpandu pada Isnin.

Insiden di Teluk Aden, selatan Laut Merah, berlaku sehari selepas peluru berpandu dilancarkan pemberontak Houthi yang menyasarkan kapal pemusnah AS ditembak jatuh oleh pesawat perang AS.

Serangan oleh dan terhadap Houthi, sebahagian daripada paksi penentangan kumpulan bersekutu Iran, menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan yang merebak di rantau itu susulan perang di Gaza.

Houthi berkata, serangan ke atas kapal di Laut Merah adalah sebagai solidariti dengan Gaza, di mana pejuang Hamas yang disokong Iran berperang dengan Israel selama lebih tiga bulan.

Dianggarkan, 12 peratus daripada perdagangan global biasanya melalui Selat Bab al-Mandeb, pintu masuk Laut Merah antara barat daya Yaman dan Djibouti, tetapi serangan pemberontak menyebabkan banyak kapal melalui laluan lebih jauh di sekeliling Afrika.

Pada Isnin, Jabatan Pengangkutan AS mengesyorkan supaya kapal komersial berkaitan dengan AS tidak memasuki selatan Laut Merah, memberi amaran mengenai tahap risiko yang tinggi daripada potensi serangan balas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan