Jeritan dari tanah perkuburan

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
NAJWA berkongsi kisah mendengar jeritan seperti manusia ketika menziarahi Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.
NAJWA berkongsi kisah mendengar jeritan seperti manusia ketika menziarahi Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.
Kajang: "Saya jadi gementar dan takut sepanjang perjalanan pulang ke rumah kerana teringat apa yang didengari itu," kata Najwa Mat Rasid, 33.

Wanita itu memberi reaksi demikian ketika menceritakan semula pengalamannya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Merab Luar, di sini apabila mendakwa mendengar suara seolah jeritan manusia.

Najwa sebelum itu berkongsi video di TikTok mengenai perkara itu hingga tular dan mendapat reaksi pelbagai warganet.

Menurutnya, suara itu didengari pada waktu petang dan menghampiri senja, malah ketika itu dia hendak pulang ke rumah selepas menziarahi pusara ibunya.

"Saya tidak berseorangan ke sana kerana bersama kakak serta anak kami.

"Ketika nak ke pagar kubur, saya dikejutkan dengan suara jeritan itu... ia tidaklah kuat... sayup saja.

"Bagi mendapat kepastian, saya tanya kakak dan dia (kakak) juga dengar suara itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Najwa, dia sempat merakam video suasana tanah perkuburan ketika mendengar suara berkenaan.

Katanya, video itu dirakam untuk simpanan dan dikongsikan di TikTok baru-baru ini untuk melihat reaksi orang ramai selain pandangan mereka selepas menontonnya.

"Antara komen diterima adalah daripada mereka yang tinggal berdekatan tanah perkuburan, yang mengatakan pernah dengar suara seolah jeritan manusia, tak lama selepas jenazah dikebumikan.

"Ada juga yang tidak percaya dan kata mungkin betul apa saya dengar itu atau mungkin juga bukan suara manusia tapi haiwan.

"Terpulang kepada tafsiran mereka yang menonton, cuma secara peribadi, saya jadikan apa yang berlaku itu sebagai peringatan untuk lebih mengingati kematian," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan