Kebakaran di Kampung Baru 6 rumah musnah

Bernama
Bomba berkata kebakaran yang berlaku di Lorong Raja Muda Musa 3 di Kampung Baru itu menyebabkan enam buah rumah musnah. (Gambar APM)
KUALA LUMPUR: Enam rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Raja Muda Musa 3 di Kampung Baru pagi tadi.

Jabatan Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan memberitahu lima jentera dengan 16 anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak dan Sentul dikerahkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pada 10.18 pagi.

“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 11.09 pagi, punca kebakaran masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu seorang saksi Zaini Jumari, 63, berkata beliau melihat asap tebal ketika melalui jalan berkenaan selepas selesai urusan di bank.

“Saya lihat asap tebal dan api yang agak besar, pada mula saya ingat orang bakar sampah kemudian bila saya dekat saya lihat api itu sebenarnya keluar dari corong tong gas yang diletakkan atas motosikal roda tiga yang digunakan untuk menjual jagung di depan sebuah rumah,” katanya kepada Bernama.

Katanya beliau yang cemas kemudian memanggil beberapa pemuda berhampiran untuk mengetuk pintu rumah-rumah bersebelahan untuk memeriksa jika terdapat penghuni.

Katanya sebuah rumah yang dijadikan gerai makan ada dua lelaki yang sedang tidur dan berjaya dikejutkan sebelum api lebih marak berikutan dua lagi tong gas berhampiran motor roda tiga itu meletup.

“Selepas berjaya mengejutkan mereka, saya suruh mereka pindahkan semua tong gas yang ada di rumah itu untuk elakkan kebakaran menjadi lebih besar dan kita bernasib baik tiada orang yang terkorban kerana ramai keluar bekerja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan