Kenangan: 'Pak cik' Agong, 'kakak' permaisuri permata hati rakyat

NurQalby Mohd Reda & Bernama

Di negara ini, bukan sesuatu yang luar biasa jika ternampak susuk yang sangat dikenali ini sedang beratur untuk membeli ayam goreng di restoran makanan segera, atau di tepi jalan raya membantu mangsa kemalangan.

Atau mungkin ada yang teringat bagaimana susuk ini mengharung banjir bagi melihat sendiri musibah yang menimpa rakyat. 

Sekalipun di mata dunia susuk ini adalah Ketua Negara Malaysia, bagi rakyat negara ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah umpama “ayah dan ibu” yang sentiasa menyantuni rakyat tanpa ikatan protokol.

Lantaran itulah, barangkali terlupa seketika akan kedudukan Seri Paduka berdua, ada sahaja ahli masyarakat terlepas cakap memanggil Al-Sultan Abdullah “pak cik Agong” dan “abang Agong”, sementara Tunku Azizah pula disapa “kakak”.

Kebersahajaan pasangan diraja yang digelar oleh sesetengah netizen sebagai pasangan “bersemut” (kolokial warga maya bermaksud pasangan yang amat mesra) itu membuatkan golongan marhaen tidak segan meminta untuk bergambar bersama setiap kali ada peluang, dan permintaan dipenuhi oleh Seri Paduka berdua tanpa sekelumit rasa murka.

Air mata Raja Permaisuri yang gugur lantaran terharu melihat kesanggupan rakyat Sabah berhujan demi menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di pekan Beaufort pada September lepas, cukup untuk membuktikan keikhlasan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat. 

"Terima kasih banyak-banyak. Tuanku (Al-Sultan Abdullah) dan saya akan mengenang perkara ini sepanjang hayat kami... Kami minta maaf dan kami rasa bersalah kepada rakyat yang menunggu di luar sana dalam hujan kerana kami tidak boleh keluar dan bertemu dengan mereka.

"...hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas, dan Tuanku dan saya doakan semua orang tak sakit, tak demam sebab tunggu dalam hujan begitu lama," titah Tunku Azizah dalam video berdurasi kira-kira 40 saat, yang dirakamkan sendiri oleh baginda dan dikongsikan oleh Istana Negara menerusi Instagram.

Selasa ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan berangkat balik ke Pahang, menandakan tamatnya tempoh perkhidmatan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama lima tahun sejak 31 Jan 2019.

Prihatin

Dalam pada itu, bagi mereka yang mempunyai pengalaman peribadi bersua muka dengan pasangan diraja Pahang ini, di sebalik kebersahajaan Seri Paduka berdua, ada aura yang menyerlah.

Aura itulah yang membuatkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Basir Roslan berasa sedikit gementar apabila Al-Sultan Abdullah menyapa, bertanyakan sama  ada telah makan tengah hari atau belum.

“Baginda mencemar duli beramah mesra dengan petugas media yang ketika itu sedang membuat liputan di Istana Negara, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb 2020.

“Kami ‘berkampung’ di depan pagar Istana Negara selama berhari-hari, dari awal pagi hingga lewat petang, bagi melaporkan perkembangan terkini kemelut politik negara pada masa itu. Baginda yang prihatin dengan keadaan kami, berkenan menyampaikan pek makanan,” katanya yang ketika itu baru dua tahun bekerja sebagai pemberita. 

Menurutnya, paling tidak dilupakan ialah keenakan biskut air tangan Tunku Azizah yang sememangnya dikenali sebagai jurumasak handalan. 

“Hingga kini saya masih ingat betapa mesranya Tuanku dengan kami yang sedang berpeluh di tengah panas. Tuanku langsung tidak menunjukkan rasa kekok ketika menyampaikan pek makanan itu,” sambung beliau.

Tidak kira siapa

Keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap rakyat jelata merentasi segenap lapisan tanpa mengira latar belakang, dan R. Yogeswary adalah antara buktinya. 

Bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, wanita berusia 45 tahun ini antara individu bertuah yang menerima pingat daripada Al-Sultan Abdullah di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada Disember tahun lepas.

Lebih istimewa, baginda turut berkenan bertemu Yogeswary selepas berakhirnya istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu.

Berkongsi pengalaman dengan Bernama, Yogeswary berkata perhatian yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap beliau turut mengubah persepsi masyarakat berhubung kerjayanya.

“Kerjaya sebagai pengawal keselamatan sebelum ini tidak dipandang oleh masyarakat. Namun, selepas kerja saya tular dan dapat pula perhatian Tuanku, masyarakat mula buka mata betapa pentingnya kerja pengawal keselamatan ini,” katanya.

“Titah Tuanku ‘you deserve it’ (memang kamu layak dapat) ketika penganugerahan tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinga saya hingga kini,” tambah ibu tunggal dua anak itu.

Menurutnya, titah peribadi Yang di-Pertuan Agong itu dijadikan pembakar semangat untuk beliau meneruskan usaha membantu masyarakat.

“Sikap Seri Paduka berdua yang sangat  ‘humble’ (rendah diri)  dan melayan saya sebaiknya ketika di Istana Negara adalah momen paling indah dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa sedih mengenangkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bakal meninggalkan Istana Negara dan berangkat balik ke Pahang pada penghujung bulan ini.

Sebelum mendapat pengiktirafan persekutuan itu, Yogeswary tular di media sosial kerana sering membantu pesakit dan pelawat, melangkaui bidang tugas hakikinya di hospital tersebut.

Amat disenangi rakyat

“Terpedaya” dengan penampilan dan gaya Tunku Azizah semasa membeli durian di gerainya di Gurney Drive, George Town, Pulau Pinang, membuatkan Mohd Rafi Yaakob, 42, memanggil baginda “kakak”.

Mengaku demam akibat terkejut setelah mengetahui siapa sebenarnya Tunku Azizah, beliau berkata Seri Paduka telah mengulangi gerainya sebelum bergelar Raja Permaisuri Agong.

“Seri Paduka mula datang ke gerai saya sebelum ke Istana Negara lagi, iaitu sekitar 2017. Ketika itu baginda ada acara di sini, dan sejak itu boleh saya katakan baginda merupakan pelanggan tetap saya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

“Baginda memang ada sikap yang berbeza berbanding lazimnya keluarga diraja. Sekiranya baginda turun ke Pulau Pinang, jika ada masa, baginda  akan singgah di gerai saya, selalu beli durian dalam dua ke tiga biji. Saya kerap menolak apabila  baginda mahu membayar harga durian itu tetapi baginda tetap akan hulurkan duit kepada saya,” katanya yang berniaga raja buah sejak 2015.

Mohd Rafi berkata kali terakhir Raja Permaisuri singgah di gerainya adalah pada Disember lepas dan baginda sempat bertanya khabar keadaan diri serta perniagaannya.

“Bagi saya, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri memang suka bersembang dan ambil tahu tentang kehidupan rakyat. Mungkin itu yang membuatkan rakyat mudah mesra dengan baginda berdua, dan disebabkan oleh kunjungan Tuanku Permaisuri juga gerai durian saya dikenali dan dikunjungi ramai orang hingga sekarang,” katanya.  

Video insiden Mohd Rafi memanggil Tunku Azizah “kakak” tular pada 2017, dan reaksi bersahaja baginda semasa berbual dengan peniaga buah durian itu dipuji rakyat yang gembira melihat sikap rendah diri baginda.  

Klip video itu juga memaparkan baginda menikmati buah durian di gerai Mohd Rafi yang terletak di tepi jalan tanpa sebarang protokol.

Berkeperibadian mulia

Penyelaras Jabatan Sosio-Budaya dan Kesenian Melayu Universiti Malaya Dr Shafa'atussara Silahudin pula berpandangan selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keperibadian dan tingkah laku rendah diri yang menempatkan baginda di hati masyarakat  sebagai pemerintah yang memahami jiwa rakyat.

Sebagai Yang di-Pertuan Agong pula, Al-Sultan Abdullah berjaya menterjemahkan peranan baginda  selaku simbol penyatuan rakyat berbilang kaum dan institusi raja dengan baik, katanya.

Ulas beliau, keperibadian Al-Sultan Abdullah itu boleh diibaratkan sebagai ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, memandangkan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, juga berkeperibadian mulia. 

Katanya, Almarhum Sultan Ahmad Shah sentiasa mengingatkan rakyat bahawa sultan adalah “payung kepada rakyat”.

“Pada 2018, saya selaku alumni Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, dijemput buat persembahan nyanyian di hadapan baginda (Al-Sultan Abdullah) yang ketika itu adalah Pemangku Raja Pahang. Selepas seminggu, saya berpeluang lagi bertemu dengan baginda di satu majlis di mana saya dijemput mendendangkan syair. 

“Usai persembahan, baginda berseloroh, menyapa saya dengan panggilan ‘budak sekolah’ lantaran baginda mengingati persembahan saya di maktab sebelum itu,” kongsinya.

Shafa'atussara yang juga penyair profesional negara, berkata  sepanjang lima tahun memerintah negara, Seri Paduka mengangkat agama Islam serta warisan dan adat istiadat Melayu ke tahap tertinggi.

Kembara Borneo pecah tradisi keluarga diraja

Felow Utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong melihat Kembara Kenali Borneo yang dirintis oleh Seri Paduka berdua pada September lalu, sebagai jambatan yang merapatkan institusi raja dengan rakyat, terutama di pedalaman Borneo.

“Kembara ini adalah idea yang bijak. Tidak pernah ada sebelum  ini Yang di-Pertuan Agong berserta keluarga melakukan kembara melawat seluruh Sabah dan Sarawak.

“Penglibatan keluarga diraja ini adalah sejarah… lawatan pula bukan sehari dua, tetapi berhari-hari dan menjelajah hingga ke pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama. 

Bermula di Tawau, Sabah pada 3 Sept, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berserta anakanda berkonvoi sejauh 2,332 kilometer, iaitu melangkaui jangkaan asal 2,154 km. Baginda memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Kembara selama 11 hari itu tamat di Telok Melano, selatan Sarawak.

Teo berkata kembara itu bukan sahaja mendekatkan keluarga diraja dari Semenanjung dengan rakyat di Borneo tetapi juga mencerminkan “naungan diraja” merentasi Laut China Selatan yang memisahkan Malaysia Barat dan Timur.

Lebih-lebih lagi kedua-dua negeri di Pulau Borneo itu hanya diketuai oleh Yang Dipertua Negeri.

“Lawatan diraja ini mempunyai signifikan yang tersendiri dalam sejarah Malaysia dan boleh dilihat pada sambutan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak yang begitu teruja menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua, di semua lokasi yang disinggah.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak ‘merasai’ duduk di bawah naungan atau pemerintahan diraja ‘sebenar’ kerana yang ada hanya Yang Dipertua, iaitu individu daripada kalangan rakyat biasa yang diangkat menjadi ketua negeri.

 “Apatah lagi kedatangan keluarga diraja ini bersahaja, tidak terikat protokol, sudah tentu lawatan itu sangat istimewa di hati rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata kehadiran baginda berdua yang rendah diri, suka tersenyum dan pandai berjenaka ternyata meninggalkan kesan di hati rakyat.

“Kita di Semenanjung juga rasa terhibur apabila baginda berkongsi cerita ada rakyat di Borneo yang memanggil baginda 'Pak cik Agong',  'Abang Agong' dan Permaisuri Agong sebagai Datin Permaisuri. Meskipun ada yang melihat (panggilan itu) kurang sopan, baginda menzahirkan rasa terhibur.

“Tidak ada sesiapa berani bergurau dengan raja atau Agong, tetapi perwatakan baginda itu yang sebenarnya membuatkan rakyat selesa dan boleh berbual serta bergurau secara spontan dengan baginda,’’ katanya. 

Rakyat akan kerinduan

Teo yang juga Felow Majlis Profesor Negara, tidak menolak bahawa rakyat akan merindui Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah selepas ini.

“Masakan tidak, lihat sendiri sikap peribadi baginda yang lebih suka membahasakan diri sebagai ‘saya’ berbanding ‘beta’. Baginda hanya menggunakan ganti nama beta apabila menghadiri majlis rasmi dan istiadat sahaja.

“Selain itu, baginda sentiasa mewujudkan suasana mesra ketika bersama rakyat. Pengalaman saya bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, baginda memulakan perbualan dengan memuji kefasihan bahasa Melayu saya,” katanya.

Tambah Teo, sifat cakna baginda terhadap kebajikan rakyat membuatkan Seri Paduka tidak kisah mengharung lumpur melawat kawasan banjir.

“Saya rasa rakyat akan sukar untuk ‘move on’ apabila baginda tidak lagi menjadi ketua negara dan inilah bukti baginda adalah permata di hati rakyat,” kata Teo.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan