Bharianonline
Pegawai keselamatan berkata, lelaki itu menyelinap masuk ke dalam kondo dan naik ke bumbung untuk melakukan lompatan, manakala rakannya merakam video dari bawah. - Foto AGENSI
BANGKOK: Seorang penerjun udara warga British maut selepas menyelinap untuk melompat dari bumbung kondominium 29 tingkat di Tambon Na Klua, di daerah Bang Lamung, wilayah Chonburi, Pattaya, semalam.
Mangsa dikenali Nathy Odinson, 33, dan Facebook (FB) miliknya, Nathy's Sky Photography, memiliki lebih 10,000 pengikut, selain memaparkan beberapa klip terjun tapak dan payung dari pelbagai lokasi di Thailand.
Beberapa muat naiknya turut mengepilkan FB Thai Sky Adventurers yang menjual pakej bagi pelancong yang suka melakukan aktiviti terjun dari pesawat kecil dengan syarikat itu terletak di Si Racha, Chonburi.
Polis pelancong dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 7.30 malam (waktu tempatan) dan segera menuju ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat Odinson bersama payung terjun berwarna biru yang tidak terbuka sepenuhnya.
Pegawai keselamatan kondominium memaklumkan polis, mereka bergegas selepas terdengar bunyi benda berat jatuh serta tangisan wanita dan menemui Odinson yang ketika itu dalam keadaan kritikal sebelum dia mati.
Katanya, kereta Odinson diparkir di luar kondominium sebelum dia menyelinap dan naik ke bumbung untuk melakukan lompatan, manakala rakannya merakam video dari bawah..
Mereka berkata, lelaki terbabit jatuh selepas terlanggar dahan pokok selain memaklumkan Odinson beberapa kali menyelinap masuk untuk melakukan terjunan tapak, sebelum ini.
Sementara itu, Timbalan Penyiasat Balai Polis Bang Lamung, Kapten Kamolporn Nadee, berkata rakan mangsa sudah disoal siasat, selain memaklumkan akan meneliti kamera keselamatan kondominium
Tiada ulasan:
Catat Ulasan