Mahathir terdesak?, Dr M turun demo mohon Agong tangani 'kerajaan gagal'

Zarrah Morden

Ratusan orang berhimpun di luar Istana Negara di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon campur tangan baginda berhubung kerajaan yang didakwa sebagai "gagal".

Antaranya ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tanpa mengemukakan bukti atau statistik, ahli politik berusia 98 tahun itu mendakwa kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang tinggi mendorong ramai orang Melayu membunuh diri dan mengambil nyawa orang lain.

“Tujuh belas orang, orang Melayu yang membunuh diri.

"Ada yang bunuh mak, yang bunuh ibu bapa, kerana hilang punca dan tertekan sangat-sangat," dakwa Mahathir.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai istana oleh empat wakil NGO yang mendakwa mewakili Islam dan Melayu. Bagaimanapun, nama pertubuhan itu tidak didedahkan.

Memorandum itu mendakwa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal "menjaga kebajikan Malaysia dan rakyatnya serta kedaulatan Islam dan Melayu".

Memorandum itu juga menyatakan bahawa raja-raja Melayu telah dihina berikutan dakwaan pembangkang cuba merasuah raja untuk merekayasa rampasan kuasa terhadap kerajaan.

Selain itu, ia juga mendakwa mahkamah menceroboh peranan raja-raja Melayu sebagai ketua hal ehwal Islam di negeri masing-masing.

Turut hadir penyelaras gerakan Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Chegubard menyalahkan “AZD” (Anwar, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan DAP) sebagai punca ketegangan kaum dan ketidakstabilan politik.

Dia juga menuduh kerajaan menggunakan SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengekang perbezaan pendapat.

Hadirin ikut bertakbir serta melaungkan slogan "hidup rakyat, Anwar derhaka" dan "daulat tuanku."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan