Dituduh tekup muka isteri hingga mati, lelaki diperintah bela diri

Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang bekas kontraktor untuk membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya dengan cara menekup muka mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, tiga tahun lalu.

Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chuah Chin Hoe, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Pada akhir kes pendakwaan, dengan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ini secara menyeluruh dan diberikan penilaian maksimum, kesimpulan dibuat bahawa tertuduh orang terakhir bersama isterinya yang meninggal dunia di dalam bilik mereka pada malam sebelumnya dan pada pagi selepas dia ditemukan mati.

“Dalam rantaian situasi yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh, keadaan ini merupakan yang paling kuat. Ia merupakan pertimbangan material sebagai keadaan terhadap tertuduh,” kata hakim sambil menambah ini memerlukan penjelasan daripada tertuduh.

Selepas keputusan diumumkan, peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Muniandy kemudian menetapkan prosiding membela diri selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 April ini.

Mengikut pertuduhan, Chuah didakwa membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Seramai 17 orang saksi pendakwaan termasuk dua anak pasangan itu, telah dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan yang bermula pada 11 Okt 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir, manakala tertuduh turut diwakili peguam Lavinia Raja dan Revin Kumar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan