Dividen KWSP 6.5 peratus?

KWSP dijangka umum dividen awal bulan depan, kadar diramal 5.5 hingga 6.5 peratus

Hazwan Faisal Mohamad
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen bagi 2023 pada awal bulan depan dengan penganalisis meramalkan kadarnya pada 5.5 hingga 6.5 peratus.

"Kemungkinan besar dividen akan diumum awal Mac," menurut sumber kepada BH.

Sementara itu, penganalisis menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

Katanya, KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion.

"Justeru, dana persaraan ini ada kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar. Namun disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil.

"Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa. Namun, KWSP dijangka memberi pulangan dividen lebih baik dengan unjuran antara 5.5 hingga 6.5 peratus," katanya.

KWSP meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B23), meningkat 33 peratus berbanding RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan itu, RM4.62 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dengan keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 pula, jumlah pendapatan pelaburan KWSP adalah sebanyak RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos, meningkat sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2022.

Bulan lalu, pengurus dana persaraan itu mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn sebagai ketua pegawai eksekutif baharu berkuat kuasa 19 Februari 2024.

Ahmad Zulqarnain, yang sebelum ini menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dilantik sebagai Menteri Kewangan II selepas mengetuai KWSP sejak 1 Mac 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan