Malaysiakini
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membidas tindakan ahli parlimen PN keluar sidang Dewan Rakyat semalam.
Kata Rafizi, dia sentiasa cuba menjaga tatasusila malah tidak menggunakan Peraturan Mesyuarat di Parlimen apabila ahli parlimen Ketereh Annuar Musa pada ketika itu memanggilnya ahli parlimen 'pondan' dan bukannya Pandan.
"Saya missed acara wajib PN di Parlimen – “walk out” lagi, walaupun baru semalam titah YDP Agong pasal adab di parlimen,” katanya.
Raifizi memetik Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata semalam: "Hanya kerana mereka mempunyai majoriti, mereka melakukan apa yang mereka mahu tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan sejak sekian lama."
Rafizi mendakwa Muhyiddin menjadi perdana menteri tanpa kepastian majoriti sokongan di parlimen dan pengerusi PN itu telah mengisytiharkan darurat serta menggantung parlimen.
"Sepanjang saya menjadi ahli parlimen pembangkang, saya tak pernah bangun ganggu perbahasan dengan menggunakan Standing Order (atau Peraturan Mesyuarat) seperti yang berlaku dengan pembangkang sekarang.
"Walaupun pada satu ketika, bekas ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengejek 'ahli parlimen Pondan, eyh salah Pandan' konon untuk buat lawak dan terang-terang melanggar Peraturan Mesyuarat.
"Saya hanya menjawab - umur Ketereh tak jauh beza dengan umur ayah saya dan rakyat melihat akhlaknya pada usia itu," katanya.
Rafizi menekankan masa yang diperuntukkan untuk ahli parlimen berucap adalah singkat sekitar 5 ke 7 minit sahaja.
"Gunakanlah peluang itu untuk menyampaikan perkara yang substantif, lebih-lebih jika pembangkang kerana itu sahajalah peluang untuk kita pamerkan kemampuan kita mentadbir dengan cetusan idea yang lebih baik dari kerajaan.
"Malangnya, pembangkang yang ada selalunya ketandusan idea untuk membahaskan perkara-perkara yang substantif. Akhirnya mereka melengahkan dan mencuri masa dewan dengan perkara remeh temeh yang berlegar sekitar Standing Order (selalunya atas alasan “mengelirukan dewan”, padahal mereka yang mudah terkeliru).
"Walaupun tugas Speaker Dewan menjadi lebih sukar dan tekanan darah naik sepanjang masa, amalan 'walk out' oleh PN ini akan memakan diri, jika tidak berjaya mempamerkan fungsi pembangkang di Parlimen," kata Rafizi lagi.
Semalam, Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP Liew Chin Tong juga menyifatkan alasan pembangkang keluar Dewan Rakyat sebagai “kurang munasabah”.
Bantahan ahli parlimen PN itu susulan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul membenarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan penerangan sesi "Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong."
"Biasanya para menteri mengumumkan dasar dan menjelaskan keadaan melalui Kenyataan Parlimen yang umumnya dibuat di sebelah pagi walaupun ia tidak semestinya pada waktu pagi sahaja.
"Kenyataan Parlimen itu bertujuan menjunjung kasih dan mengucapkan terima kepada Yang di-Pertuan Agong yang sebelumnya serta menyambut Yang di-Pertuan Agong baru.
"Ini bagi memastikan kenyataan persidangan itu direkodkan, khususnya kerana ia merupakan sidang parlimen yang pertama sejak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memegang tampuk pemerintahan.
"Namun, pembangkang yang merasakan diri sangat bijak telah membangkitkan isu remeh berhubung Kenyataan Parlimen Perdana Menteri yang dikatakan sepatutnya dibuat waktu pagi dan bukannya petang, dan selepas itu membuat keputusan untuk keluar Dewan Rakyat beramai-ramai," kata Liew pada satu kenyataan.
Liew memaklumkan perdana menteri berada di luar parlimen pada pagi semalam untuk menyambut kehadiran rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, yang mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke Malaysia.
"Hanya di sebelah petang Datuk Seri Anwar dapat hadir ke parlimen," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan