Tiada permit untuk konsert malam Nisfu Syaaban, kerajaan negeri akan panggil penganjur
Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
Tangkap layar video tular mengenai konsert yang mencetus kontroversi di Kedah berikutan berlangsung pada malam ‘nisfu Syaaban’.
ALOR SETAR: Agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah memberikan permit atau kelulusan untuk penganjuran konsert di Taman Jubli Emas pada malam 'nisfu Syaaban' malam tadi.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan, sebelum memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang.
Mengulas lanjut, katanya, memang terdapat permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun ia tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti yang tular di media sosial.
"Kerajaan negeri mengambil maklum perkara itu melibatkan konsert di Taman Jubli Emas di Alor Setar pada malam 24 Februari (malam tadi) .
"Penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri sahaja dan itulah yang diluluskan.
Tangkap layar video tular mengenai konsert yang mencetus kontroversi di Kedah berikutan berlangsung pada malam ‘nisfu Syaaban’.
"Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh penganjur," katanya melalui kenyataan.
Mansor berkata, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitam daripada terbabit apa jua program di negeri ini pada masa akan datang.
Terdahulu tular video berdurasi 22 saat memaparkan aksi penonton melompat dan menari ketika persembahan konsert di Taman Jubli Emas, sehingga mengundang kritikan berikutan diadakan pada malam 'nisfu Syaaban'.
Pada 3 Oktober 2022, media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan sebarang penganjuran aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan luar tatasusila dalam kalangan pengunjung, tidak dibenarkan di seluruh Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan rakaman video persembahan kumpulan muzik di atas pentas dihadiri anak muda sambil melakukan pelbagai aksi, antaranya menari di Balai Seni Alor Setar yang mengundang perasaan kurang senang orang ramai susulan diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan