Ramai puas hati tengok Syahredzan sekolahkan MP Pas di Parlimen
SITI NUR ZAWANI
Klip video tular sejak malam tadi di media sosial mengundang perbincangan hangat apabila ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menempelak dan menyekolahkan ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
Ia selepas ahli Parlimen Pas itu memberi contoh yang tidak tepat ketika mengulas mengenai 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Rosol mendakwa selepas ini sesiapa yang tidak berpuasa, tidak boleh lagi didakwa – kononnya kerana kesalahan tidak berpuasa telah dibatalkan.
Perkara itu dibantah Syahredzan yang menegaskan bahawa kesalahan tidak berpuasa sama sekali tidak termasuk dalam 16 Enakmen Syariah yang dibatalkan oleh mahkamah.
Oleh itu beliau menasihatkan Hulu Terengganu agar baca dahulu sebelum memberi sebarang contoh.
“Kalau kita tengok enakmen-enakmen yang dibatalkan dalam kes Nik Elin, tidak termasuk kesalahan tidak berpuasa. Saya minta supaya Hulu Terengganu baca dulu dan tarik balik,” katanya.
Hulu Terengganu kemudian berdalih mengatakan kesalahan tidak berpuasa itu adalah sekadar contoh. Namun ia dibidas sekali lagi oleh Syahredzan.
“Contoh tu kena bagi yang betul lah. Baca dulu. Ini tak baca terus nak buat persepsi dalam Dewan yang mulia ini. Kalau saya tak ‘check’ tadi, ‘you’ dah bawa pergi TikTok, satu Malaysia dah masuk.
“Tolonglah. Nak cerita pasal ni baca dulu. Ini bukan soal koyak, tapi Hulu Terengganu seorang senior,” balas Syahredzan.
Berikutan tular video itu, ramai yang berpuas hati melihat bagaimana YB Pas itu disekolahkan oleh seorang ahli Parlimen yang lebih muda.
Mereka juga antara lain menganggap jika Syahredzan tidak segera menepis persepsi yang cuba dibuat pembangkang, ia pasti akan berakhir dengan lebih ramai mempercayai apa yang dikatakan blok itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan