Harapandaily
Pemuda AMANAH memandang serius satu video yang sedang berlegar di media-media sosial oleh seorang pempengaruh yang dilihat cuba mempersendakan isu enakmen mahkamah syariah yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
Tindakan pempengaruh yang memperlekeh hukuman mahkamah syariah sebenarnya masih terpakai dalam enakmen jenayah syariah di negeri-negeri termasuk Kelantan, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Danial Ar-Rashid Haron.
“Pemuda Amanah menganggap ini adalah tindakan melampau yang sengaja dibuat bagi mengelirukan masyarakat awam berkenaan isu keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan pembatalan 16 peruntukan kesalahan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
“Pempengaruh ini mengunakan kes arak, judi dan liwat dengan menggambarkan seolah-olah umat Islam di Malaysia menerima perbuatan tersebut dan meremehkan undang-undang syariah yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, seksyen mengenai kesalahan minum arak dan kesalahan berjudi tidak termasuk dalam 16 perkara yang dibatalkan dan ia masih berkuatkuasa sebagai satu kesalahan jenayah syariah di Kelantan.
Manakala kesalahan liwat pula, katanya, walau pun ia dibatalkan tetapi ia masih lagi terkandung dalam kanun keseksaan udang-undang persekutuan.
“Maknanya semua kesalahan ini, masih lagi boleh dihukum berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Justeru, Pemuda Amanah akan mengadakan laporan polis secara serentak di seluruh Malaysia pada hari khamis (15 Februari 2024) jam 5 petang ke atas pempengaruh tersebut agar pihak PDRM boleh menjalankan siasatan ke atas pempengaruh ini di bawah Seksyen 4 (1) akta hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina) dan Seksyen 7 (Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam)
Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559) agar menjadi pengajaran kepada semua untuk tidak menimbulkan fitnah dan sebarkan maklumat yang salah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan