FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seseorang pempengaruh yang mendakwa dipukul dan dicederakan ketika dalam siasatan, bulan lalu.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata M Vikram Naidu telah membuat laporan pada 9 Jan lalu dan siasatan telah dibuat termasuk membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kecederaan.
l
Menurutnya, Vikram ditahan susulan laporan polis terhadapnya oleh seorang wanita yang mendakwa telah diugut oleh enam lelaki dengan meminta wang perlindungan sekiranya tidak mahu disusahkan.
“Telah pun dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 15 Jan lalu terhadap penama yang mengaku tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan.
Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membabitkan jenayah pemerasan jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat.
Yusri mengulas penularan sebuah video yang mendakwa seorang pempengaruh dipukul ketika dalam tahanan polis selain pihak berkuasa melindungi kegiatan menjual nombor ramalan tidak berlesen.
“Orang ramai diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tuduhan terhadap polis serta melaporkan sebarang kegiatan jenayah mengikut saluran yang sepatutnya.
“Ia kerana dibimbangi kegiatan yang membelakangkan undang-undang ini sebenarnya sebagai helah menakut-nakutkan orang ramai bagi kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan