Bernama
Pusat mengundi di WTC bagi warga Indonesia di perantauan sempena pemilihan umum 2024 merupakan yang terbesar di dunia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Pusat mengundi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi warga Indonesia di perantauan sempena pemilihan umum 2024 pada Rabu depan merupakan yang terbesar di dunia, kata Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas mengundi di pusat mengundi awal di WTC berkata semua petugas pemilihan sudah bersedia untuk melayani rakyat Indonesia yang berada di Malaysia untuk memberikan hak mereka sebagai warganegara.
“Tahun ini kami belajar daripada Pemilu sebelum ini (2019) dan mengurangkan penyalahgunaan kertas undi,” katanya.
Sementara itu sumber kedutaan yang ditemui di WTC memberitahu dakwaan berlaku penyalahgunaan kertas undi menerusi video yang disebarkan pihak tertentu masih belum dibuktikan dan perkara itu sedang disiasat pihak yang berkenaan.
Semua 130 kedutaan Indonesia di luar negara dikatakan turut membuka pusat mengundi bagi rakyat Indonesia di perantauan.
Enam pusat pengundian dibuka di seluruh Malaysia hari ini bagi proses undi awal untuk warga Indonesia yang berdaftar sebagai pemilih.
Pusat pengundian di WTC melibatkan 222,945 pemilih, Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247), dan Kuching (2,988).
Pemilu di Malaysia sering mendapat perhatian di Indonesia kerana melibatkan jumlah pemilih luar negara terbesar.
Berdasarkan laporan sebelum ini, bagi pemilihan kali ini, jumlah pemilih berdaftar di Malaysia kira-kira 47.55% daripada keseluruhan 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri Indonesia.
Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi pada 14 Feb ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat, dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan