Samseng jalanan terpaksa 'berkonvoi' ke balai polis

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tujuh 'samseng jalanan' yang dalam perjalanan ke sebuah kedai makan sekitar Senawang, Negeri Sembilan terpaksa 'berkonvoi' ke balai polis selepas ditahan kerana menunggang secara melulu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mereka ditahan menerusi Operasi Khas OSJ di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Plaza Tol Senawang, semalam.

"Hasil soal siasat mendapati semua yang ditahan tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan motosikal terdekat sebaliknya datang dari sekitar Lembah Klang iaitu Cheras, Salak Tinggi, dan Sungai Besi.

"Mereka menjadikan lebuh raya itu sebagai laluan konvoi untuk ke kedai makan yang terletak di sekitar Bandar Senawang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi dijalankan bermula jam 11 malam hingga 4 pagi membabitkan enam pegawai dan 68 anggota dari Unit Risikan/Operasi Bukit Aman bersama EMPV Zon Selatan 1 IPD Seremban dan peserta Kursus Risikan/Operasi Trafik Siri 1/24.

Mohd Azman berkata, pihaknya turut menahan dua penunggang motosikal atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran yang mengelirukan.

"Keseluruhannya 60 penunggang motosikal diperiksa dan sembilan individu ditahan.

"Kesemua tahanan berusia lingkungan 16 hingga 24 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik IPD Seremban untuk tindakan lanjut.

"Sebanyak 101 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi, ekzos bising dan ubahsuai struktur," katanya.

Menurutnya, beberapa motosikal jenis Yamaha 135 LC, Modenas Kriss 110, dan Yamaha Y15ZR turut disita bagi tindakan lanjut.

Katanya, objektif utama operasi itu adalah bagi membendung kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

"JSPT menasihatkan penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan lalu-lintas dan pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan samseng jalanan dan pemalsuan butiran kenderaan.

"Operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan itu daripada berleluasa dan menjamin keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan