Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
JAMALLIAH, Sarimah (kanan) dan Salwana menunjukkan gambar arwah Mohd Hafiz dan laporan polis yang dibuat. FOTO Hamzah Osman
Langkawi: "Saya tidak lena tidur selagi belum mendapat penjelasan daripada polis berkaitan kejadian sebenar sehingga anak koma sebelum meninggal dunia," kata Jamalliah Zain, ibu kepada Mohd Hafiz Salleh, 31, yang koma sebelum disahkan mati selepas ditahan polis.
Mohd Hafiz yang didakwa melakukan kesalahan berkaitan narkotik, koma di Hospital Sultanah Maliha (HSM) selepas dikatakan ditahan polis pada 29 Januari lalu, sebelum meninggal dunia 1 Februari lalu.
Jamalliah, 62, berkata, pada siang hari kejadian, anak lelakinya dalam keadaan sihat dan mereka turut berbual beberapa perkara berkaitan urusan keluarga.
"Saya dan keluarga masih kabur dan bingung kenapa polis belum memaklumkan hasil siasatan dan punca kematian arwah (Mohd Hafiz) yang ada kesan luka atas kening, mata lebam dan kesan calar di dada.
"Sudah seminggu kejadian berlaku, saya tidak lena tidur walaupun arwah sudah dikebumikan, kami sekeluarga hanya mahu tahu hasil siasatan," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Belibis di sini, hari ini.
Kakak Mohd Hafiz, Sarimah, 35, berkata, keluarganya memerlukan laporan hasil siasatan polis bagi membolehkan mereka merancang tindakan susulan berdasarkan saluran undang-undang.
"Sehingga kini kami sudah membuat dua laporan polis. Pertama berkaitan tangkapan polis terhadap arwah sehingga terpaksa dirawat di hospital dan kedua, laporan kematian.
"Kami ada bertanya kepada pihak polis (bagaimana kejadian berlaku) secara lisan, tetapi jawapan diberikan tidak sama seperti paparan dalam rakaman video yang tular. Ia menimbulkan lebih banyak tanda tanya," katanya.
Adik Mohd Hafiz, Salwana, 26, pula mengatakan, tiada ahli keluarga mereka yang terbabit dalam rakaman dan penularan video kejadian penahanan ke atas arwah oleh sepasukan anggota polis di stesen minyak seperti yang tular di media sosial.
"Berdasarkan rakaman video, arwah abang dilihat dipukul beramai-ramai dipercayai membabitkan anggota polis, jadi saya merayu pihak polis siasat dengan telus dan hasil siasatan mesti dimaklumkan kepada kami sekeluarga," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan