BERNAMA
PENDUDUK mencari mangsa dalam runtuhan bangunan susulan serangan udara di Kem Pelarian Jabalia pada 31 Oktober 2023. FOTO Reuters
Ramallah: Stadium dan gimnasium di Semenanjung Gaza yang sepatutnya menjadi lokasi aktiviti pengembangan potensi atlet Palestin, kini berubah menjadi tanah perkuburan ratusan atlet serta pegawai sukan yang terkorban akibat serangan tanpa henti tentera rejim Israel.
Selama lebih 140 hari serangan, arena sukan Palestin sudah kehilangan lebih 183 pegawai dan kakitangan, termasuk atlet bola sepak, bola tampar, kru dan pengarah teknikal dan pengadil, lapor WAFA.
Memetik Persatuan Bola Sepak Palestin baru-baru ini, WAFA melaporkan seramai 85 pemain bola sepak kelab tempatan Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat antara 7 Oktober dan 6 Disember lalu.
Menurut laporan itu, pemain bola sepak yang terbunuh termasuk 18 kanak-kanak dan 37 remaja.
Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan Palestin
Jaguh karate Palestin Nagham Abu Samra, 26, yang juga antara atlet harapan dan mempunyai masa depan cerah dalam sukan karate turut terkorban dalam serangan Israel, menurut WAFA
Nagham meninggal dunia di Hospital Syuhada Al-Aqsa di Deir Al-Balah selepas hampir sebulan koma akibat serangan peluru berpandu di Gaza, 17 Disember lalu.
Atlet paralimpik turut tidak terkecuali antaranya pemain bola sepak orang kerdil Palestin, Ahmed Awad Salman, dua beradik Mahmoud dan Muhammad Abu Dan yang bermain di Akademi Kelab Al-Hilal Gaza serta Atef Dabour, 15, dari kelab yang sama.
Turut terkorban dalam serangan Israel ialah pemain dari akademi bola sepak di Khan Younis Muhammad Qanan, pasangan adik-beradik di Akademi Score Abdullah dan Muhammad Abu Sanima, pemain Kelab Bola Sepak Markaz Tulkarem Osama Abu Nahar dan pemain Akademi Bola Sepak Samba Abdul Qadir Al-Attar, lapor WAFA.
Media baru-baru ini melaporkan seorang pengadil bola sepak antarabangsa dari Palestin, Mohamed Khattab turut syahid akibat serangan tentera Israel.
Khattab yang juga seorang pengadil diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia dan Antarabangsa terkorban bersama keluarganya selepas rejim Zionis mengebom rumah mereka di Deir al-Balah.
Beberapa stadium dan kemudahan sukan di Gaza dan Tebing Barat terpaksa dijadikan tanah perkuburan para atlet yang terkorban disebabkan ketiadaan tempat lain untuk mengebumikan mereka.
Selain stadium, tentera zionis turut menyasarkan 37 pusat pengembangan sukan lain, 17 daripadanya musnah sama sekali dan selebihnya dijadikan pusat tahanan dan penyeksaan.
Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh hampir 29,954 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 70,000 penduduk lain selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan