FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan tindakan dua suspek menakutkan pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang.
PETALING JAYA: Dua termasuk seorang wanita ditahan selepas tular rakaman menunjukkan tindakan mereka menakutkan pengguna jalan raya dengan membaling objek dan cuba menendang penunggang motosikal lain di Jambatan Pulau Pinang.
Ketua Polis Seberang Perai, Helmi Aris, berkata kejadian dikesan menerusi satu video dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook, 12.30 tengah malam semalam.
“Video itu menunjukkan penunggang (lelaki) dan pembonceng (wanita) sebuah motosikal menunggang dalam keadaan berbahaya.
“Pembonceng dikesan membaling sesuatu objek disyaki pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal mereka.
“Kejadian disyaki berlaku di Jambatan Pulau Pinang dari arah George Town ke Perai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek berusia 50 dan 30 tahun itu mempunyai tiga rekod kes berkaitan jenayah pada 2021 dan tahun lalu.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi tujuan permohonan reman. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi lebih satu minit memaparkan tindakan pasangan terbabit yang sengaja “menyerang” beberapa penunggang motosikal yang melalui Jambatan Pulau Pinang.
Selain mengacu pisau dan menendang, wanita yang juga pembonceng motosikal berkenaan turut melibas tali serta membaling pasir ke arah pengguna jalan raya lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan