Agensi
TIMOTHY ditemukan mati kerana dibiar kelaparan hingga mengalami kekurangan zat makanan dan hipotermia. FOTO Agensi
New York: Seorang abang memohon belas ihsan daripada hakim selepas mahkamah di Michigan menjatuhkan hukuman penjara antara 30 tahun hingga 100 tahun selepas didapati mendera adik lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) hingga mati.
Mirror UK melaporkan Paul Ferguson, 21, didapati bersalah menyebabkan kematian adik lelakinya, Timothy, 15, yang mempunyai autisme dengan masalah koordinasi motor dan pertuturan atas arahan ibunya, Shanda Vander Ark, 44.
Timothy ditemui mati pada 6 Julai 2022 di rumah keluarganya di Norton Shores, Michigan, dan bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kekurangan zat makanan dan hipotermia.
SHANDA Vander dan anaknya Paul Ferguson. FOTO Agensi
Kematian Timothy diklasifikasikan sebagai pembunuhan dan remaja OKU itu hanya mempunyai berat 31 kilogram (kg) ketika ditemui mati.
Shanda dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh Timothy selepas mangsa didapati didera dengan kejam termasuk dipaksa makan roti yang disiram dalam sos panas dan berbaring dalam ais selama berjam-jam pada satu masa.
Selepas dibenarkan berucap di mahkamah, Paul berkata: "Saya meminta belas ihsan hakim, supaya saya boleh belajar daripada kesalahan.
Sambil menangis, dia berkata: "Jika saya boleh melakukan semuanya sekali lagi, saya akan melakukannya dengan betul.
"Apa alasan yang boleh membenarkan tindakan saya, tiada perkataan yang boleh menggambarkan kekesalan saya," katanya.
Hakim, Kacel menyifatkan Paul hampir mempunyai ciri psikopat dan berkata dia percaya pemuda itu 'sama teruk, atau lebih teruk daripada ibunya Shanda'.
Hakim itu berkata, Paul cuba mengalihkan kesalahannya sendiri kepada ibunya Shanda dengan mengatakan dia tidak akan melakukan perkara itu tanpa arahan ibunya.
Semasa kes mahkamah berjalan, pendakwa raya Matt Roberts menunjukkan gambar mayat Timothy kepada juri dan Shanda.
Juri mengambil masa lebih sejam bulan lalu sebelum mendapati dia bersalah atas pembunuhan peringkat pertama dan hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.
Ketika di mahkamah, Shanda dilihat hanya duduk dan memandang ke hadapan sambil mendengar perbicaraan nasibnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan