3 'Awek Melaka' kena tahan tunggang motosikal aksi Superman

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ANTARA aksi Superman dilakukan tiga remaja perempuan di Lebuhraya Utara Selatan yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Tular
ANTARA aksi Superman dilakukan tiga remaja perempuan di Lebuhraya Utara Selatan yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Tular
Kuala Lumpur: Perbuatan tiga remaja perempuan yang menunjukkan aksi 'Superman' di sekitar Lebuhraya Utara Selatan mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya mengesan klip video yang dimuat naik di aplikasi X jam 5.34 petang, 10 Mac lalu.

"Klip video itu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang (Superman) di lebuh raya terbabit.

"Bertindak atas maklumat itu, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Trafik Daerah (BSTD) Melaka Tengah membuat tangkapan terhadap tiga remaja perempuan di sekitar Bandar Melaka, semalam.

"Mereka yang ditahan berusia 16 hingga 18 tahun itu ditahan bersama motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya pada kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati, semua suspek yang ditahan adalah daripada kelab motosikal 'Awek Melaka' dengan semua ahli kelab berkenaan menetap di Melaka.

"Sebelum kejadian, difahamkan suspek dalam perjalanan pulang secara konvoi dari sebuah kedai makan di Serdang, Selangor.

"Suspek mengaku menjadikan lebuh raya itu sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya berkenaan kerana terpengaruh antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengeluarkan tujuh saman terhadap suspek terbabit atas pelbagai kesalahan.

"JSPT akan sentiasa melaksanakan operasi mencegah samseng jalanan secara berterusan bagi membanteras kegiatan itu yang membahayakan keselamatan orang ramai.

"Pada masa sama, JSPT komited untuk menjalankan program advokasi bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang lalu lintas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan