Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
TIGA penunggang motosikal ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya KL-Seremban (Plus) semalam. FOTO Ihsan JSPT
Kuala Lumpur: Tiga 'superman' dicekup selepas melakukan aksi berani mati bermula dari Kilometer (KM) 271 hingga KM273 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, di sini semalam.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, tiga lelaki berkenaan ditahan dalam operasi di beberapa lokasi hotspot bagi aktiviti rempit.
Menurutnya, operasi dijalankan oleh dua pegawai dan 19 anggota di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas).
"Dalam operasi itu,tiga penunggang motosikal yang disyaki melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua - dua belah kaki ke belakang (superman) ditahan.
"Aksi itu dilakukan bermula dari KM 271 hingga KM 273 Lebuhraya KL - Seremban arah Utara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal ditahan dalam operasi sama kerana menggunakan nombor pendaftaran 'ASEK'.
"Selepas pemeriksaan teliti dibuat didapati nombor pendaftaran sebenar adalah berbeza dari nombor pendaftaran yang dipaparkan.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 kerana gagal memberi keterangan berhubung nombor pendaftaran ''ASEK'," katanya.
JSPT berkata, kesemua suspek berkenaan di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan IPD Kajang untuk tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan