Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
TERTUDUH yang membelasah anak kandungnya (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Abnor Hamizam
Kuala Pilah: Lelaki yang membelasah anak perempuannya sehingga mengakibatkan mangsa menerima 12 jahitan dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ia selepas tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak kandungnya yang berusia 17 tahun dengan menggunakan alat sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian iaitu kerusi plastik, bakul pakaian dan papan seterika.
Kesalahan dilakukan pada 23 Januari 2024, jam 11.45 malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau.
Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.
Sabit kesalahan, di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam Roslaili Alias.
Video kejadian itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mahu pelakunya dihadapkan kemuka pengadilan.
Pada 31 Januari lalu tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan merogol mangsa sama yang juga anak kandung berusia 16 tahun enam bulan ketika kejadian pada November tahun lalu.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dibelasah oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga menerima 12 jahitan di kepala.
Kejadian dipercayai disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengadu kepada teman wanita lelaki berkenaan dengan mendakwa dia dirogol bapanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan