Kes culik: 4 termasuk warga China ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Empat lelaki, termasuk tiga warga China, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan pemilik sebuah restoran di Georgetown semalam.

Suspek berusia 32 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Georgetown hari ini, manakala mangsa berusia 30 tahun ditemukan selamat, kata Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin.

“Kira-kira 6 petang semalam kita terima laporan daripada seorang wanita warganegara China memaklumkan suaminya diculik. Susulan itu, satu pasukan khas ditubuhkan dengan keanggotaan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Pulau Pinang.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, mangsa berjaya diselamatkan dan empat suspek ditahan,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, lapor Bernama.

Beliau berkata, walaupun wang tebusan berjumlah RM277,886 telah dibayar, mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Polis sedang giat memburu tiga lagi suspek warga China yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu.

Khaw berkata, motif penculikan masih disiasat, sama ada berkaitan masalah peribadi, hutang atau melarikan dengan niat mendapatkan wang tebusan.

Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan