"Nga Kor Ming jangan cabar Islam", Nota ini ditabur di luar rumah ibu bapa Ng

Malaysiakini 
Salinan nota bertulis tangan memberi amaran Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming supaya "jangan cabar Islam" bertaburan di luar kediaman ibu bapanya di Ayer Tawar, Perak.

Ibunya, yang menemui nota itu telah membuat laporan polis.

Menurut Sin Chew Daily, Nga, yang berada di Hong Kong atas utusan rasmi berkata dia akan menyerahkan perkara itu kepada polis.

Bagaimanapun, menteri itu memberitahu pihak di sebalik kejadian itu supaya tidak menyusahkan keluarganya terutama ibu bapanya yang sudah tua.

Sebelum ini, bom molotov dilemparkan ke rumah sepupunya Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, yang juga terletak di Ayer Tawar.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu Kor Ming yang berusia 76 berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi.

"Pengadu menyatakan dia melihat banyak kertas dengan tulisan terbabit semasa keluar dari rumah pada jam 7.30 pagi.

"Pengadu percaya perkataan itu mempunyai niat yang tidak baik.

"Sehubungan dengan itu, usaha mengesan suspek kini giat dilakukan. Punca kejadian belum diketahui." katanya pada kenyataan hari ini.

Kes itu, jelas Mohamed Nordin diklasifikasikan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan," katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu kepada Kor Ming dilaporkan kesal dan risau atas kejadian itu.

Warga emas berusia 76 tahun yang enggan namanya disiarkan, dipetik Berita Harian berkata dia melihat banyak kertas putih bersaiz A4 di halaman rumahnya, ketika semasa keluar mengambil akhbar pada jam 7.30 pagi.

Katanya, pada awal dia menyangka itu hanya kertas kosong ditabur pihak tidak bertanggungjawab.

"Kira-kira jam 9.30 pagi saya keluar untuk menyapu kertas terbabit, baru saya sedar ada tulisan berwarna merah bertulis "Nga Kor Ming jangan cabar Islam".

Jangan ugut orang tua

"Ada kira-kira 40 helai kertas dan semuanya tertera nota yang sama. Oleh sebab berasa risau dan takut jika berlaku perkara tak diingini, saya dan suami membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar," katanya hari ini.

Ibu Nga berkata dia dan suaminya yang berusia 86 tahun mahu kehidupan tenteram seperti orang lain dan berharap tidak menjadi sasaran politik kebencian.

"Kami hidup secara 'low profile', kejadian seumpama ini turut pernah berlaku beberapa tahun lalu.

"Politik adalah politik, tolonglah jangan gunakan cara begini untuk ugut orang tua," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan