FMT Reporters
Rafique Rashid Ali berkata, Badrul Hisham Shaharin disiasat mengikut Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
PETALING JAYA: Badrul Hisham Shaharin daripada Bersatu, yang lebih dikenali Chegubard, ditahan susulan catatannya berhubung laporan Bloomberg mendakwa perbincangan diadakan mengenai pembukaan kasino di Forest City, Johor.
Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi untuk disiasat di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman terhadap aktivis politik itu esok.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, dengan Anwar menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.
Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, pembukaan kasino akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion itu.
Badrul dalam catatan Facebooknya menyindir kasino itu adalah “hab kewangan” yang diumumkan Anwar, dan dia berterima kasih kepada Bloomberg serta Business Times menerbitkan artikel berhubung perbincangan itu.
Pada 25 Ogos 2023, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan zon kewangan khas akan diwujudkan di Forest City bagi merancakkan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan