Peminta sedekah berat hati nak berhenti jadi pengemis, gembira mampu kumpul aset cecah RM4.2 juta

KIM SYAZIE

Siapa sangka, dengan hanya bermodalkan wajah sedih dan penampilan yang selekeh, lelaki ini berjaya mengumpul aset bernilai RM4.2 juta.

Meraih pendapatan yang lumayan setiap bulan, bapa kepada dua orang anak itu menjadikan aktiviti mengemis sebagai pekerjaan tetap.

Lelaki yang sihat tubuh badan itu melakukan aktiviti tersebut secara sukarela dan sanggup berulang alik demi meminta sedekah.

Bergantung hidup pada simpati orang, lelaki itu berhasil memiliki aset berupa sebuah rumah flat bernilai ratusan ribu ringgit dan dua buah rumah kedai.

Pengemis bernama Bharat Jain yang erasal dari Mumbai, India, itu perlu menanggung isteri, dua orang anak, abang serta ayahnya, lapor The Financial Express.

Namun disebabkan dia datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, Bharat tidak pernah berpeluang untuk mendapatkan pendidikan formal di sekolah.

Dia yang mulanya hanya mengemis untuk menyara kehidupan itu enggan berhenti setelah berjaya memperoleh pendapatan yang stabil.

Walaupun puas dipujuk keluarga, Bharat terus terperangkap dalam kegiatan mengemis dan tekad untuk meneruskan ‘kerjayanya’ itu.

Tempat popular yang menjadi lokasi pilihan Bharat antaranya stesen kereta api Chhatrapati Shivaji Maharaj Terminus (CSMT) atau Azad Maidan.

Menerusi kegiatan mengemis, Bharat boleh menjana pendapatan bulan mencecah 60,000 rupee (RM3,672.78) sehingga 75,000 rupee (4,237.82).

Manakala, dua buah rumah kedai yang terletak di Thane, pinggir bandar Mumbai pula disewakan Bharat dengan harga 30,000 rupee atau RM1,695.27.

Difahamkan, anak-anak Bharat sudah tamat sekolah dan ahli keluarganya juga terlibat dalam perniagaan dan menguruskan sebuah kedai alat tulis.

Tiada siapa yang tahu isi hatinya, namun mungkin keseronokan mendapatkan wang dengan cara yang mudah menyebabkan Bharat sukar untuk berhenti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan