Nak gelaran Datuk Seri, ahli perniagaan wanita rugi RM375,000

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my

MUAR: Seorang ahli perniagaan wanita mendakwa kerugian RM375,000 selepas terpedaya dengan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri.

Mangsa, 45, mendakwa ditawarkan gelaran kebesaran yang kononnya dari sebuah negeri itu oleh rakan lelakinya pada Jun 2022, namun diminta membuat bayaran terlebih dahulu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata terpengaruh dengan janji suspek, wanita berkenaan melakukan 35 transaksi dalam talian kRmepada lelaki itu.

"Pada Ogos 2022, mangsa mendapat watikah penganugerahan gelaran itu, tapi semakan dibuat mendapati namanya tiada dalam senarai. Sehingga kini, mangsa mendakwa tidak menerima apa-apa anugerah seperti dijanjikan suspek," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, susulan itu mangsa yang berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini polis sudah menjalankan kempen kesedaran jenayah komersial secara bersemuka mahupun melalui media, tetapi masih ada terpedaya," katanya mengingatkan orang ramai lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC), manakala semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima boleh dibuat di pautan https://semakmule.rmp. gov.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan