Keputusan PRK Sg Bakap tunjuk Umno hilang tempat di P Pinang

Rex Tan

PETALING JAYA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap semalam menjadi petanda bahawa Umno, sebuah parti Melayu, telah kehilangan daya tarikannya dalam kalangan penduduk Melayu di Pulau Pinang, menurut penganalisis politik.

“Kebanyakan undi Melayu adalah untuk Perikatan Nasional (PN), menunjukkan Umno bukan lagi kuasa besar di Pulau Pinang,” kata James Chin daripada Universiti Tasmania.

“Tidak banyak boleh mereka lakukan lagi di sana untuk bantu kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, PH dan sekutunya Barisan Nasional (BN) akan berdepan cabaran sukar susulan kemenangan PN dengan majoriti besar pada PRK semalam.

“Saya tidak rasa kita patut terkejut dengan kejayaan PN, selain majoriti besarnya. Ini bermakna kerajaan perpaduan hadapi cabaran besar untuk menangi (hati pengundi Melayu),” katanya.

Calon PN daripada PAS Abidin Ismail memperoleh 14,489 undi, dengan majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 63.45%, dengan lebih ramai orang Melayu keluar mengundi, manakala pengundi Cina dan India berkurangan.

Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Pengerusi PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff, yang kali pertama bertanding, menang tahun lepas menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi itu kosong apabila Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, peratusan keluar mengundi bukan Melayu yang lebih rendah adalah disebabkan sikap tidak peduli politik dalam kalangan masyarakat Cina.

“Mereka percaya keputusan (PRK Sungai Bakap) tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri dan persekutuan,” kata Azman kepada FMT.

Beliau berkata, sokongan orang Melayu yang rendah terhadap PH juga mungkin disebabkan oleh sabotaj dalaman, apabila wujud kemungkinan ahli Umno berkempen menentang calon PH.

“Umno dan BN tidak melakukan ‘pembersihan’ menyeluruh ahli-ahli mereka pada peringkat pertengahan dan akar umbi, yang menjadi duri dalam daging,” tambahnya.

Malam tadi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, rasa tidak puas hati dengan peningkatan kos dan dasar kerajaan seperti penyasaran subsidi diesel dipercayai menjadi antara faktor di sebalik kekalahan PH pada PRK Sungai Bakap.

“Kekalahan ini mungkin disebabkan kegagalan dalam menjelaskan secara berkesan perkara ini kepada pengundi,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu pada sidang media.

Bersetuju dengan pendapat Chow, Azman berkata, isu nasional seperti subsidi diesel dan kaitan BlackRock dalam penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd banyak dipaparkan dalam kempen PN.

“Bantahan dan penjelasan kerajaan perpaduan mengenai isu ini tidak sampai ke akar umbi dengan berkesan,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan