Pergaduhan 3 wanita di parkir berpunca hubungan sulit dengan suami suspek

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Penampang: Polis menahan dua wanita warga asing yang terbabit dalam kes gaduh susulan video yang tular membabitkan pergaduhan di kawasan parkir sebuah pasar raya di daerah ini.

Kedua-dua wanita terbabit ditahan sepasukan polis di dua lokasi berasingan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan video tular itu, polis membuka kertas siasatan.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan wanita warga asing berusia 18 tahun iaitu suspek yang dilihat memukul mangsa dalam video yang tular.

"Manakala tangkapan kedua membabitkan seorang lagi wanita iaitu mangsa dipukul berusia 25 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang juga telah menggerakkan pasukan polis bagi mengesan seorang lagi suspek yang dilihat memukul mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, motif kejadian dikatakan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.

Semalam tular video berdurasi dua minit 16 saat yang memaparkan mangsa dilihat beberapa kali ditampar dan rambutnya ditarik hingga terjatuh sebelum mangsa ditendang oleh dua wanita terbabit.

Sementara itu, Sammy berkata, sebarang maklumat berkaitan kes video tular berkenaan boleh segera berhubung dengan IPD Penampang di talian 088-712222.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan