FMT Reporters
PETALING JAYA: Wanita dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Pontian selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap suaminya bagi mendapatkan RM2,000 Jumaat lalu.
Tertuduh, Syuzzana Yahaya, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati. Bagaimanapun, seorang lelaki warga tempatan, Mohd Feardous Osman, 42, yang berdepan tuduhan sama, mengaku tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama melakukan pemerasan melalui aplikasi WhatsApp kepada Zakaria Mohd Nooh, 41, dengan mendatangkan ketakutan terhadapnya untuk mendorongnya menyerahkan wang tunai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jasa Sepakat, Batu 30, Jalan Johor, Pekan Nanas, Pontian, pada 12.14 tengah hari, 26 Julai.
Mengikut fakta kes, pesanan WhatsApp itu meminta wang RM2,000 dipindahkan ke dalam akaun, selain ugutan tidak melibatkan polis jika tidak mahu isteri dan anak-anak mati kelaparan atau salah seorang ahli keluarga tidak akan selamat, lapor Sinar Harian.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana hukuman tersebut.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini, manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.
Nurezzati meminta mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas Syuzzana yang mengaku bersalah mengambil kira pemerasan yang dilakukan terhadap suaminya sendiri dan membabitkan tiga anak kandungnya.
Katanya, hukuman terbabit sebagai pengajaran kepada wanita terbabit agar tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.
Bagi Feardous pula, wang jaminan RM8,000 ditawarkan kepadanya oleh pendakwa raya sebelum dia merayu dikurangkan kerana mempunyai seorang anak dan hanya bekerja di kedai makan dengan gaji bulanan sebanyak RM1,000.
Selain, penjara tiga bulan, majistret turut mengenakan tambahan tiga bulan lagi penjara, jika gagal membayar denda RM2,000.
Dalam pada itu, ikat jamin Feardous ditetapkan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Sept sebagai serahan dokumen dan sebutan kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang disangka hilang bersama tiga anak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung rupanya bersekongkol dengan teman lelaki untuk mengugut suami sendiri menyerahkan wang sebanyak RM2,000.
Ketua Polis Pontian Mohammad Shofee Tayib berkata, suami suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membuat laporan polis pada 9.47 malam Jumaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan