Disyaki amang seksual pelajar junior, calon SPM direman 5 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di kediaman suspek di Taman Keramat, Hulu Kelang, bulan lalu.

Difahamkan, pelajar Tingkatan Lima berusia 17 tahun itu dan mangsa 16 tahun dari sekolah sama berkenalan sejak Mei lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata mangsa dalam laporannya pada 30 Julai lalu mendakwa dibawa ke rumah suspek kira-kira 2 petang 25 Julai lalu sebelum mencabul serta melakukan amang seksual terhadapnya.

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada guru disiplin dan membuat laporan polis, katanya menurut Berita Harian.

Susulan itu, polis menahan suspek di Hulu Kelang kira-kira 9 malam tadi.

Menurutnya, suspek direman lima hari hingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan