Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
MELAKA: Hasrat seorang pemuda untuk mencari kerja bertukar tragedi hitam apabila diliwat oleh lelaki warga asing di sebuah kedai perabot di Tanjung Minyak, dekat sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam, ketika mangsa berusia 22 tahun datang ke sebuah kedai perabot di Tanjung Minyak, di sini.
Beliau berkata, mangsa bertanya kepada seorang lelaki Pakistan yang juga penjaga kedai mengenai kerja kosong sebelum diajak naik ke tingkat atas kononnya untuk bertemu dengan pengurus premis.
"Sejurus pengadu naik ke tingkat atas dia mendapati tiada sesiapa dan hanya tempat simpanan perabot.
"Tiba-tiba suspek menarik tangan mangsa dan mengheretnya ke dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas.
"Suspek kemudian membuka seluar pengadu secara paksa sebelum meliwatnya. Dalam keadaan cemas itu, mangsa cuba melepaskan diri tetapi suspek menahannya namun dia menjerit dan berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini.
Zainol berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik dan baru menamatkan pengajiannya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bertindak atas maklumat, katanya, suspek yang juga jurujual berusia 36 tahun itu ditahan pegawai dan detektif Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari sama jam 6.30 petang.
"Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek adalah negatif.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan