MP ponteng Parlimen selepas ini tak akan dapat elaun, silap hari bulan boleh hilang kerusi

SITI NUR ZAWANI

Ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan Parlimen selepas ini kemungkinan akan ditarik elaun kehadirannya.

Lebih teruk lagi, wakil rakyat berisiko kehilangan kerusi mereka jika tidak hadir bersidang selama enam bulan tanpa alasan sah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Peraturan sedemikian akan berjalan sebaik sahaja Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) dikuatkuasakan

Jelas beliau, tidak semua ahli Parlimen boleh menghadiri semua sesi persidangan pada setiap masa kerana masing-masing mempunyai tugasan rasmi khususnya ahli Kabinet, namun kehadiran adalah wajib melainkan ada perkara lain yang tidak dapat dielakkan.

“Memang tiada lagi Ahli Parlimen yang kehilangan kerusi atas sebab ini setakat ini tapi langkah baharu itu penting untuk memastikan tanggungjawab dalam menghadiri persidangan.

“Berdasarkan PSA, saya mencadangkan ahli Parlimen yang gagal menghadiri persidangan untuk tempoh tertentu akan kehilangan elaun mereka.

“Apa-apa pun kita tunggu PSA diluluskan Kabinet sebelum dibentang pada persidangan Parlimen nanti,” katanya kepada media.

Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini tidak akan mengganti atau memansuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).

Media pada Oktober tahun lalu melaporkan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat sedang melihat dengan serius langkah-langkah perlu yang lebih ketat dilaksanakan termasuk memotong elaun ahli Parlimen jika mereka berterusan tidak hadir ketika sesi sidang Parlimen.

Johari dilapor mencetuskan idea untuk memotong elaun ahli Parlimen yang tidak hadir ke sesi sidang Parlimen sebagai satu langkah mencegah ketidakhadiran dalam kalangan mereka.

Ia kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang tidak hadir selama beberapa hari walaupun ahli Parlimen berkenaan dibayar RM500 sebagai elaun harian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan