Politik: Penyokong bersilat, pemimpin istirahat

Ronasina

Semasa melihat foto mesra dua pemimpin kerajaan yang berbeza parti, saya dilatari kebingitan suara Mat Reform dan Din Katak yang bersilat tak berkesudahan.

Ekoran kecoh isu Khairy Jamaluddin membuat jenaka di stesen radio Hotfm ‘Saya ulang! Hari ini menang esok kita makan ramai-ramai’, terjadilah peperangan di medsos antara penyokong PMX dengan penyokong pembangkang sehingga melarat kepada tindakan mahu boikot stesen radio tersebut oleh penyokong PMX. Tidak sekadar di medsos, perdebatan juga berlaku di antara kawan saya yang masing-masing berada di kem PMX dan juga yang berada di kem pembangkang.

Sebagai Ronasina, saya tidak memihak mana-mana secara membuta-tuli. Kalau betul, saya kata betul dan kalau saya rasa salah, saya cakap. Dalam hal ini saya hanya menjadi pengadil sahaja pada babak-babak perdebatan mereka.

Itulah yang berlaku hujung minggu lalu di sebuah kedai kopi apabila Mat Reform penyokong kerajaan manakala Din Katak penyokong pembangkang duduk semeja bersama saya. Istilah warganet ialah ‘walanon’ untuk penyokong PMX dan ‘walaun’ untuk penyokong pembangkang, atau lebih tepat ‘walaun’ adalah gelaran untuk totok PAS.

Biadab betul KJ buat lawak kutuk PMX tu. Samalah dengan budak-budak deejay yang tumpang sama gelak besar. Sangat biadab! Sebab rancangan mereka ini didengar oleh jutaan rakyat Malaysia pada waktu pagi. Mat Reform memulakan hujah.

Eh! Kau yang kata sebelum ni celoteh pagi kebanyakan stesen radio kita semua entah apa-apa. Sendiri buat lawak sendiri ketawa dan langsung tak bermanfaat. Kau pun ada dengar juga ke? balas Din Katak.

Aku tak dengarlah tapi isu ini besar dan platform ini tak sesuai. Menyindir PM adalah melanggar prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Mat Reform menguatkan hujah sampai terketap-ketap gigi.

Din Katak tak mahu mengalah. Dulu pernah ada juga sebuah program realiti TV lawak, seorang artis lelaki menggayakan watak isteri seorang perdana menteri. Ingat? Sebab masa tu kau tak sokong PM tu, bukan main seronok lagi kau menengoknya.

Mat Reform mengangguk laju sambil membalas, …dan teruk dia kena, kan? Nyaris pelawak tu dikenakan hukuman. Ha, tengok! Sebab itulah kali ini bila orang perlekehkan PMX, kita perlu boikot stesen radio tu.

Maknanya kau orang pun samalah, tiada beza dengan dulu. Pantang kena kritik, nak gam. Nak boikot. balas Din Katak. Tapi selama ni cakap nak buat perubahan. Re-for-ma-si!

Saya melihat Mat Reform terdiam sekejap sambil meneguk liur. Bera muka dia melihat Din Katak menjulang tangan mengejek slogan reformasi. Melihatkan dia sudah mula mengetap-ngetap gigi, saya segera masuk daun supaya debat tak menjadi lebih panas.

Di negara-negara lain, memerli atau membuat jenaka kepada pemimpin negara itu biasa. Aku rasa, PMX pun tak ada masalah dalam hal ini. Dia dah kena macam-macam, masuk penjara, turun-naik mahkamah, kena tumbuk semua tu takkanlah kena sindir macam ni pun dia nak ‘koyak’? Yang koyaknya engkorang, penyokong taksub. Aku ingat Abuya je ada pentaksub. Korang pun sama, kata saya.

Kau sebelahkan si Din ke? Mat Reform mula mempersoalkan pendirian saya. Tapi saya tiada masalah menyokong mana-mana berdasarkan pemahaman saya. Lagipun, teh halia yang saya minum, saya bayar sendiri, bukan Mat Reform dan bukan Din Katak. Bagaimanapun, kedua mereka sedikit tersentak apabila saya sentuh bab bukan Abuya sahaja ada pentaksub. Macam terkena getah nangka saja lagak mereka tetapi saya malas memanjangkan bab itu.

Kau pun nak ikut ‘walaun’? jegil Mat Reform kepada saya.

Tak. Tapi dulu kau yang selalu melaungkan kebebasan bersuara. Kau jugalah yang pernah menjerit agar media harus beri peluang sama rata kepada dua pihak supaya rakyat dididik dan mampu menilai siapa lebih baik. Inilah masanya, kata saya.

Din Katak menarik nafas lega. Kerjanya untuk berhujah menjadi mudah sebab saya seakan mengambil alih tugasnya. Mat Reform seakan tak puas hati dan hendak membuka mulut tetapi lekas saya pintas.

“Dulu kita ada pelawak Yusof Chong. Dia selalu buat jenaka di stesen TV kerajaan, menggayakan watak pemimpin kerajaan seperti Mahathir, Samy Vellu, dan Mohamed Rahmat. Dia menggayakan Mahathir sambil mengucapkan baris kata popular Mahathir. Dia pakai spek mata yang ada hidung besar tu. Tak sensitif ke?

Kata-kata Tok Mat pun dia ajuk siap dengan gayanya sekali dia tiru dan paling mengundang gelak besar rakyat ialah apabila dia ucapkan kata-kata Samy Vellu. Masa itu tidak ada yang rasa tersinggung dan marah. Lawak ‘saya ulammm!’ ini jika diletakkan pada zaman itupun aku rasa tidak ada masalah. Hari ini, entah kenapa kita makin sensitif. Tak boleh langsung usik sehelai bulu roma pemimpin pujaan mereka. Makin teruk! Era ini adalah era ‘memacaikan’ diri.

Huh! Ini kali memang saya bubuh betul-betul. Tak kasi chance punya. Mat Reform kelihatan kurang selesa. Dia menggaru-garu perutnya.

Din Katak mengambil peluang ini untuk membalun Mat Reform. Dulu konon mengaku teruk kena libas FRU, kena sembur asid. Menjerit minta kebebasan bersuara dan meraikan perbezaan pendapat. Hari ini hati sudah jadi hati tisu. Baru kena perli dah koyak sampai nak tutup periuk nasi deejay lain. Sampai nak boikot stesen radio. Kelakar! Saya ulammm. Kelakar!

Kau cakap orang tapi kau pun sama juga! saya acu muncung hujah ke arah Din Katak.

Sama apa? Aku okey apa! sanggah Din Katak.

“Yang kau nak boikot M Nasir bulan lepas tu kenapa? Sebab PMX hadir kat konsert dia dan M Nasir serta penonton nyanyi lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ sempena hari jadi PMX? Pasal itupun kau dah tak minat M Nasir? Apa teruk benar kau ni?

Reti ke engkau bezakan antara pemimpin parti politik dengan pemimpin negara dalam sesebuah acara? Engkau nak berpolitik kepartian engkau punya pasal. Apasal nak babitkan orang lain sampai nak boikot? serang saya.

Din Katak tersandar seperti kena tembak. Barangkali dia tak sedar yang dia juga ada perangai boikot-memboikot ini tapi bila saya tembak, baru dia perasan. Mat Reform yang tadi terperonyok sedikit pulih. Mungkin dia menyangka dia sahaja taksub. Ternyata Din Katak pun sama.

Tetapi kedua mereka tidak berhenti di situ malah terus bertekak dan berdebat menegakkan benang masing-masing. Saya sudah malas dan tidak lagi menumpukan perhatian kepada mereka.

Saya membelek telefon pintar dan terusik lucu apabila melihat foto menteri besar Selangor dan menteri besar Kedah sama-sama duduk melepak makan-makan dan minum-minum. Agak kelakar kerana semasa melihat foto mesra kedua pemimpin kerajaan negeri yang berbeza parti itu, saya dilatari kebingitan suara Mat Reform dan Din Katak yang terus berdebat dan bersilat tak berkesudahan.

Entah faedah apalah yang mereka dapat.
- malaysiakini 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan