Bayi dalam besen sampah: 2 suspek termasuk remaja 14 tahun ditahan

FMT Reporters
Terdahulu tular di media sosial, seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui di dalam besen sampah di kawasan lot kedai di Jalan Tong Sang, Sibu, pada kira-kira 8 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan berhubung kes seorang bayi baru lahir ditemui di dalam besen sampah di depan sebuah premis perniagaan di Jalan Tong Sang, Sibu, hari ini.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata, reman terhadap kedua-dua suspek tempatan itu akan dimohon esok.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut.

“Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial, seorang bayi lelaki cukup sifat yang masih hidup ditemui dalam besen sampah di kawasan lot kedai Jalan Tong Sang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut pada kira-kira 8 pagi.

Bayi yang sihat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam.

Zulkipli berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pemeriksaan oleh doktor mendapati bayi itu dilahirkan dalam keadaan normal dan tiada kesan kecederaan didapati pada tubuh badannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909 atau 084-364737 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan