Bingung: ‘Kenapa isu tahanan di rumah ada dalam ucapan belanjawan?’

Malaysiakini 

Ahli Parlimen PKR Hassan Karim menyuarakan rasa hairan apabila ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menyentuh soal tahanan di rumah.

Ahli Parlimen PKR itu bertanya jika ia adalah “persiapan awal” untuk membina persetujuan awam untuk meminda undang-undang “untuk meringankan hukuman bagi golongan elit tertentu”.

“Hanya satu perenggan sahaja.Tidak dijelaskan kenapa tiba-tiba perlu sangat soal tahanan di rumah dimasukkan ke dalam ucapan belanjawan?

“Kelihatan janggal. Sepatutnya (belanjawan) bincang bagaimana untuk menambah hasil pendapatan negara, langkah untuk kurangkan hutang kerajaan dan defisit fiskal, misalnya.

“Ucapan belanjawan seharusnya menumpu soal ekonomi dan kewangan, bukannya soal reformasi undang-undang atau urusan penjara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mempersoalkan apakah jenis kesalahan jenayah yang akan dikenakan hukuman itu, Hassan bertanya adakah ia turut meliputi mereka yang disabit bersalah atas dakwaan rasuah dan pecah amanah jenayah.

Dia berkata walaupun Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 - yang melibatkan perubahan signifikan dalam undang-undang kewarganegaraan - diluluskan dengan majoriti dua pertiga, keadaan pastinya tidak sama untuk sebarang usaha menggubal akta berkaitan tahanan di rumah.

Katanya, ia pasti akan ditentang oleh rakyat dan ahli Parlimen jika dilihat dari awal ia untuk memberi keistimewaan tertentu kepada golongan elit.

“Saya harap perdana menteri janganlah meneruskan agenda yang regresif seperti ini,” katanya lagi.

Hukuman alternatif

Semalam, ucapan Anwar turut mengandungi bahagian berkenaan “peluang kedua” dan membayangkan rancangan untuk merangka undang-undang baru bagi membolehkan tahanan di rumah sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.

"Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau pegawai penjara," menurut teks ucapan.

Anwar bagaimanapun tidak membacakan bahagian itu ketika berucap semalam.

Menurut peguam, banduan di Malaysia tidak boleh memohon untuk tahanan di rumah memandangkan tiada peruntukan berkenaannya dalam sistem perundangan negara.

Isu tersebut hangat diperkatakan pada awal tahun lalu apabila bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa pengampunan diraja terhadapnya membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabit bersalah dalam kes SRC International dan masih lagi dibicarakan untuk kes-kes berkaitan skandal 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan