Kartel baja RM1.8 bilion berjaya dibongkar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan bawah kawalan kementerian dianggarkan bernilai RM1.8 billion.

Sumber berkata, beberapa siri pembongkaran dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari ini di sekitar Kuala Lumpur termasuk ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Katanya, projek bawah kementerian itu berjumlah RM1.8 billion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

“Pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.

“Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja padi daripada lima syarikat pengeluar, dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat terpilih.

Katanya, selain itu siasatan juga menjurus kepada kesalahan salah guna kuasa yang mungkin berlaku di mana ahli lembaga pengarah yang terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat berkepentingan.

“SPRM telah merampas dokumen berkaitan projek ini di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan dan dalam peringkat kajian mendalam. Enam pegawai kementerian dan pertubuhan terbabit telah dipanggil SPRM untuk ditemu bual,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan siasatan dan tidak menolak akan menahan beberapa individu disyaki terlibat untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16, 18 dan 23 Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan