AFP
Gambar fail menunjukkan asap tebal dari atas bumbung pusat karaoke yang terbakar dua tahun lalu di Hanoi. - Foto AGENSI
HANOI: Mahkamah di Vietnam hari ini menjatuhkan hukuman penjara kepada enam individu, termasuk empat pegawai polis susulan kebakaran sebuah pusat karaoke yang mengorbankan 32 orang, dua tahun lalu.
Kebakaran berhampiran hab perniagaan Ho Chi Minh City itu mengejutkan Vietnam sehingga menutup ribuan pusat karaoke di seluruh negara kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran.
Mahkamah Binh Duong menjatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan melanggar peraturan kebakaran dan kecuaian kepada pemilik pusat itu, seorang kontraktor yang terbabit dalam pembinaannya dan empat pegawai polis.
Pemilik pusat karaoke, Le Anh Xuan dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun manakala kontraktor sistem pencegahan kebakaran bar pula dihukum penjara lima tahun.
Dalam kenyataan akhir di mahkamah minggu lalu, pemilik bar Le Anh Xuan turut meminta maaf kepada mangsa dan keluarga mereka, dengan menyatakan 'kesilapannya mengakibatkan kehilangan besar'.
Dalam kejadian itu, api menyambar di tingkat dua bangunan karaoke An Phu yang mempunyai 30 bilik di Binh Duong pada September 2022 seterusnya memerangkap pelanggan dan kakitangan apabila asap tebal memenuhi tangga dan menghalang pintu kecemasan.
Ramai yang berkumpul di balkoni untuk cuba melarikan diri kerana api yang cepat merebak melalui bahagian dalam kayu manakala yang lain pula terpaksa melompat dari bangunan itu.
Sebanyak 32 orang terbunuh masing-masing 17 lelaki dan 15 wanita.
Pegawai polis didakwa atas pembabitan dalam mereka bentuk dan meluluskan sistem pencegahan kebakaran di bar itu.
Vietnam kerap mengalami kebakaran yang membawa maut – tahun lalu, seramai 56 orang terbunuh dalam bencana di sebuah apartmen di Hanoi - dan kebakaran di Binh Duong mencetuskan tindakan keras penguatkuasaan pemeriksaan bangunan di seluruh negara yang mana banyak bar karaoke gagal mematuhi peraturan kebakaran.
Menurut media rasmi yang memetik sumber polis, lebih dua pertiga daripada kira-kira 15,000 bar karaoke di negara itu terpaksa ditutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan