Padah ‘atur’ stesen minyak untuk seleweng petrol
SYED AZLAN SAYED HIZAR
Hasbullah (tengah) menunjukkan paip dan tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah kereta yang disyaki cuba menyeleweng minyak bersubsidi di sebuah stesen minyak di Beseri.
KANGAR – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeleweng petrol RON95 bersubsidi gagal apabila dia ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah stesen minyak di Beseri, dekat sini malam tadi.
Sepasukan penguat kuasa KPDN melakukan operasi kira-kira pukul 8 malam itu selepas mendapat maklumat awam serta hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan ke atas kereta tersebut.
Pengarah KPDN negeri, Hasbullah Abd. Rashid berkata, pemeriksaan awal terhadap kereta itu menemui beberapa tangki tambahan yang telah diubah suai dan berisi petrol bersubsidi.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta jenis Nissan Sentra berwarna perak yang dipandu suspek berusia 29 tahun itu mendapati terdapat kira-kira 300 liter petrol bernilai RM615,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDN negeri, di sini hari ini.
Menurutnya, maklumat risikan dalam tempoh dua minggu itu mendapati suspek sering melakukan pengisian minyak bersubsidi berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Kangar dan Beseri.
“Ketika suspek ditahan, ia adalah stesen minyak kelima suspek berhenti untuk mengisi bahan bakar bersubsidi ke dalam tangki tambahan yang telah diubah suai.
“Kita percaya suspek mengisi minyak dengan jumlah yang kecil dan berulang kali di beberapa stesen minyak berlainan bagi mengaburi mata penguat kuasa dan kemungkinan ia diseludup ke negara jiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan