NUZULSHAM SHAMSUDDIN
AMPANG – Gara-gara menendang cermin sisi kereta pemandu e-hailing seleas berang lerana ditegur muntah, seorang lelaki warga Vietnam dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu ke atas Vo 10Dinh Dong, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa merosakkan cermin sisi kereta milik S. Gobikannan, 50, di ruangan bawah sebuah kondominium di Ampang di sini pukul 12.40 pagi pada 6 Oktober lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes di mana tertuduh dengan sengaja memecahkan cermin kereta pengadu sehingga mengalami kerugian.
“Mohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam dan kes sama yang kerap berlaku dalam menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran kepada tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun peguam Dony Abdullah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah menyesal.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu mengambil seorang lelaki dan wanita warga Vietnam dari Jalan Sultan Ismail untuk dihantar ke kondominum berkenaan.
Semasa dalam perjalanan, tertuduh telah muntah dan pengadu menegurnya secara baik.
Setibanya di kondominium itu berlaku pertengkaran mulut dan tolak menolak antara mereka menyebabkan tertuduh menendang cermin sisi kereta itu. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan