Mayat 2 lelaki terjatuh Jambatan P. Pinang ditemui selang sejam

KOSMO!
Dua mayat lelaki dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang ditemui selang sejam petang tadi.
SEBERANG PERAI – Mayat dua lelaki tempatan yang masing-masing dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang dalam dua kejadian berasingan ditemui selang tempoh kurang dua jam, petang tadi.

Kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai terjatuh dari Kilometer 7.4 jambatan berkenaan dari pulau menghala kepada Perai, Sabtu lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa lelaki tempatan telah bertindak meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dan juga kad pengenalan diri.

“Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari mangsa di permukaan air dan dibantu oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta Unit PPDA JBPM.

“Mayat mangsa ditemui oleh PBS Bukit Bendera kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa hilang pada pukul 3.25 petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 40-an dilaporkan terjatuh di
KM 6.5 dari Perai menghala ke George Town kira-kira pukul 4.57 petang tadi.

Menurutnya, mangsa telah berjaya dibawa naik ke atas bot oleh nelayan yang berada di lokasi dan dibawa ke Jeti Polis Marin.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan